Pengayuh beca duta kecil Melaka

Adly tidak melepaskan peluang bergambar dengan salah sebuah beca selepas tamat majlis itu.
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri akan memberi pembaharuan lesen percuma kepada 325 pengayuh beca yang berdaftar di negeri ini pada tahun depan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, langkah itu sebagai keperihatinan kerajaan negeri dalam menghargai dan memartabatkan pengayuh beca yang juga berperanan sebagai duta kecil di Melaka.

Menurutnya, ia juga sebagai usaha pihaknya untuk memperkasakan perkhidmatan beca dan bertepatan Tahun Melawat Melaka 2019 selain akan melaksanakan hari tanpa kenderaan bagi mengiktiraf kepentingan duta kecil tersebut di negeri ini.

"Tahun depan akan ada beberapa perancangan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri yang akan memberi kesan terus dan manfaat kepada pengayuh beca seperti insentif itu.

"Paling utama kita perlukan perkhidmatan mereka untuk menjayakan program-program kerajaan kerana mereka adalah sebahagian dari golongan penting, iaitu antara orang pertama dan terawal yang berkomunikasi dengan pelancong," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengiktirafan jasa dan sumbangan kebajikan kepada pengayuh Melaka di Auditorium Perbadanan Muzium Melaka, di Banda Hilir, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Jelas Adly, pihaknya turut meminta setiap pengayuh beca bersama membantu memartabatkan nilai warisan dondang sayang yang telah pun diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (UNESCO) dengan mempedengarkannya kepada pelancong sekali gus mewujudkan suasana yang unik dan harmoni.

"Inilah usaha untuk kita pastikan warisan dunia itu dapat dipelihara dan dikekalkan untuk generasi akan datang," katanya.

Dalam pada itu, lebih 54 pengayuh beca veteran menerima sumbangan RM200 seorang dengan nilai keseluruhan peruntukan berjumlah RM40,000.