Kilang kertas disyaki punca pencemaran Sungai Sasaran

Sebuah kilang pembuatan kertas disyaki punca pencemaran Sungai Sasaran, Sungai Buloh di sini minggu lepas. (Gambar fail)
Sebuah kilang pembuatan kertas disyaki punca pencemaran Sungai Sasaran, Sungai Buloh di sini minggu lepas. (Gambar fail)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebuah kilang pembuatan kertas disyaki punca pencemaran Sungai Sasaran, Sungai Buloh di sini minggu lepas.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, sampel kimia dari kilang itu telah diambil minggu lepas dan keputusannya mengambil masa seminggu lagi.

Menurutnya, pencemaran itu dipercayai ada kaitan dengan keadaan hujan lebat menyebabkan berlakunya sisa takungan melimpah masuk ke sungai.

"Terdapat dua kemungkinan pencemaran pertama, disebabkan oleh kilang kertas itu yang terletak berhampiran dan kedua daripada Indah Water Konsortium (IWK) yang lebih jauh dari lokasi.

"Mesyuarat berkenaan hal itu telah dibuat dan Jabatan Alam Sekitar mengambil langkah awal dengan mengambil sampel untuk analisis, kita tunggu keputusan makmal untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Loy Sian
Loy Sian

Loy Sian berkata, kerajaan negeri tiada kompromi ke atas pihak yang melakukan pencemaran dan akan mengambil tindakan jika ujian menunjukkan tanda positif.

"Saya ingatkan pengusaha kilang mahupun penduduk setempat agar tidak melakukan pencemaran sewenang-wenangnya. Kesan pencemaran itu dapat dikesan menerusi air bertukar hitam dan berbau busuk.

Artikel Berkaitan:

"Malah nelayan juga mengadu hasil tangkapan semakin berkurangan dan banyak ikan dikesan mati akibat pencemaran. Jika pelaku ditangkap tindakan tegas akan diambil," katanya.

Terdahulu, penduduk mendakwa sungai berkenaan telah tercemar bertahun lamanya dan semakin teruk kebelakangan ini.