APMM tahan bot nelayan tempatan

Bot nelayan tempatan Kelas C yang ditahan kerana melanggar syarat sah lesen pagi tadi.
Bot nelayan tempatan Kelas C yang ditahan kerana melanggar syarat sah lesen pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C selepas didapati melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari kawasan pantai, di sini pagi tadi.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 8.6 batu nautika dari Barat Daya Pulau Kendi oleh bot APMM yang sedang membuat rutin rondaan di perairan negeri ini kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan seorang tekong lelaki warga tempatan berumur 41 tahun bersama tiga orang awak-awak warga tempatan semuanya lelaki berumur 29 hingga 60 tahun berada di atas bot berkenaan.

"Pemeriksaan di dalam bot berkenaan menemui hasil tangkapan anggaran 30 kilogram dan kesemua yang ditahan ditahan bawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

"Kesemua dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Hasil tangkapan ikan yang ditemui di dalam bot berkenaan turut dirampas.
Hasil tangkapan ikan yang ditemui di dalam bot berkenaan turut dirampas.

Hamizan berkata, pihaknya memandang serius terhadap kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutamanya kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Beliau mengingatkan agar Komuniti Maritim Pulau Pinang bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang terutama melibatkan pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda.

Artikel Berkaitan:

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.