Ribuan aduan bukti kerajaan tak lepas tangan: Mujahid

Mujahid (dua dari kiri) menyerahkan cek replika sumbangan kerajaan Persekutuan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri (tiga dari kiri) sempena Majlis Pelancaran Program Rahmah Peringkat Negeri Perak hari ini.
Mujahid (dua dari kiri) menyerahkan cek replika sumbangan kerajaan Persekutuan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri (tiga dari kiri) sempena Majlis Pelancaran Program Rahmah Peringkat Negeri Perak hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Ribuan aduan diterima dalam talian unit pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuktikan kerajaan tidak pernah lepas tangan dalam menangani isu provokasi menghina dan mempersendakan agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendedahkan talian khas aduan dilancarkan Jakim pada 7 Mac lalu juga mendapat maklum balas daripada penganut agama lain yang turut membuat aduan penghinaan agama masing-masing.

Menurutnya, kesemua aduan provokasi menghina dan mempersendakan agama, sama ada Islam atau agama lain, kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

"Kalau dikira memang hampir puluhan ribu aduan diterima, namun di peringkat sekretariat, Jakim mengadakan tapisan memandangkan tidak semua aduan dikemukakan benar-benar isu.

"Paling penting, tindakan mewujudkan talian unit pemantauan Jakim bagi menangani isu provokasi menghina agama ini membantu memudahkan siasatan pihak polis bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas pelakunya," katanya kepada media pada majlis pelancaran Program Rahmah Peringkat Negeri Perak di Masjid Ubudiah, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang menggantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini dilihat bersikap lepas tangan dalam menangani isu provokasi dan penghinaan agama Islam di samping mengakibatkan kedudukan agama itu dan kaum Melayu terancam.

Mujahid berkata, pihaknya turut terkejut apabila kerajaan dituduh sebagai agen memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini oleh pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, apabila PH diberi mandat mentadbir kerajaan, sememangnya inisiatif paling utama untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa dan agama adalah dengan membendung kebangkitan suara ekstremis dan radikal agama serta kaum.

"Maka atas sebab itu, lahirlah dasar Rahmatan Lil Alamin di mana pendekatan kerajaan untuk memperkasakan agama Islam dan melaksanakan tadbir urus kerajaan adalah berpandukan maqasid syariah.

"Sudah pasti, punca perpecahan kaum bukan kami (kerajaan) tetapi pihak tertentu yang cuba mengaitkan apa sahaja isu permasalahan negara dengan fahaman agama dan perkauman sempit," katanya.

Mujahid turut menafikan tindakan sekatan dikenakan terhadap segelintir individu daripada berceramah di masjid dan surau di negara ini adalah atas kepentingan politik atau peribadi.

"Sebaliknya, individu-individu terbabit didapati mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti kaum dan agama sewaktu berceramah dan boleh mengeruhkan hubungan perpaduan antara kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, Mujahid menegaskan penganjuran Program Rahmah akan diperluaskan di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.

"Inisiatif ini penting bagi mempromosi nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam sebenar untuk diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia," katanya.