Kereta peronda polis terbakar selepas aksi kejar-mengejar

Kereta peronda polis yang terbakar dalam kejadian itu.
Kereta peronda polis yang terbakar dalam kejadian itu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah kereta peronda polis terbakar selepas terbabas ketika satu adegan kejar-mengejar bersama sebuah kereta lain di Jalan Nusa Damai Utama, di sini awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kenderaan yang juga anggota polis berpangkat Korperal berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, kereta peronda polis dari Balai Polis Taman Scientex, Pasir Gudang itu dimaklumkan sedang berada dalam tugasan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

“Anggota polis yang bertugas itu kemudiannya mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampirinya dengan membunyikan siren.

“Namun kenderaan tersebut terus memecut laju sebelum terus dikejar kereta peronda polis berkenaan ke Jalan Persiaran Nusa Damai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kereta peronda itu kemudiannya tiba di satu lokasi pusingan U sekitar kawasan berkenaan sebelum hilang kawalan dan terbabas.

“Kemalangan dipercayai berpunca selepas kereta itu melanggar bonggol jalan selepas membuat pusingan U di kawasan berkenaan.

“Kereta dinaiki anggota polis itu kemudiannya telah terbabas sebelum terbalik di tepi jalan dan mula terbakar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha mengesan kereta dan suspek yang dikejar polis dalam kejadian itu masih dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.