Malaysia harapkan keamanan selatan Thailand

Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk.
Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk.
A
A
A

SIK - Malaysia menuntut konflik yang semakin meningkat di selatan Thailand dapat dipulihkan melalui rundingan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Malaysia menuntut berlakunya rundingan di antara pihak selatan dengan kerajaan Thailand.

"Di pihak Malaysia, kita mahu supaya berlaku perundingan antara pihak selatan dengan kerajaan Thailand.

"Di selatan Thailand terdapat pelbagai pihak, tidak kira yang mana satulah tetapi apa yang penting supaya berlaku perundingan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pondok Ampang, Jeneri Sik di sini.

Terdahulu Mohamad turut meluangkan masa menziarahi penduduk Kampung Kuala Ruman dan menyampaikan sumbangan yang diagihkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada 45 asnaf dan fakir miskin.

Beliau berkata, konflik berterusan di wilayah itu hanya akan menjejaskan pembangunan di selatan Thailand.

"Apabila berlaku berterusan keadaan tidak aman di sana, pembangunan di selatan agak terjejas. Jadi kita harap, carilah jalan terbaik," katanya.

Mohamad berkata, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang dilantik kerajaan sebagai fasilitator keamanan selatan Thailand antaranya ditugaskan mencari pendamaian di sana.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, wilayah Patani, Yala, dan Narathiwat berjiran dengan Malaysia terjejas teruk dengan konflik yang berterusan telah mengorbankan lebih 7,000 nyawa termasuk orang awam.

Konflik semakin tegang sejak Julai lalu apabila ramai guru agama termasuk masyarakat disyaki ditahan pihak tentera.