Ibu dan anak serah diri, gambar tular didakwa mencuri

A
A

LAHAD DATU - Akibat tular gambar mencuri di sebuah premis menjual produk kecantikan dan kesihatan di Bandar Fajar di sini, pada Khamis lalu, pasangan wanita ibu dan anak ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek berumur 43 dan 21 tahun itu menyerah diri ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada 7.30 malam selepas gambar mereka yang didakwa mencuri, dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan tular di laman sosial Facebook IPD LD.

"Kedua-dua suspek mengaku secara lisan mengaku melakukan kesalahan (mencuri)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, polis menerima laporan daripada pengurus sebuah premis kecantikan berhubung aduan pekerjanya terdapat dua pelanggan wanita mengambil barang di kedai itu.

"Pengadu yang membuat pemeriksaan di CCTV kedai mendapati, kedua-dua suspek mengambil barang iaitu tiga unit Biore UV Aqua Rich (50g), satu unit Hada Labo Mild Exfoliating Foaming Wash dan satu unit Hada Labo Deep Hydration Water Gel dianggarkan bernilai RM140," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nasri berkata, siasatan awal polis mendapati premis berkenaan memiliki 10 CCTV dan berdasarkan rakaman CCTV jelas kedua-dua suspek melakukan kesalahan.

"Anak beranak ini memasukkan barangan ke dalam beg tangan dan bergegas keluar tanpa membuat bayaran," katanya.

Menurut Nasri, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - Bernama