KFA sedia runding semula dengan FAM tapi bersyarat

Mohd Asmirul
Mohd Asmirul
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) bertegas membawa kes pampasan pemainnya, Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menyemak kembali rayuan pihaknya.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya bersedia untuk sekali lagi berunding dengan badan induk bola sepak negara itu membincangkan perkara tersebut tetapi secara bersyarat.

Tegasnya, Kedah mempunyai asas untuk membawa kes tersebut ke CAS namun sedia berbincang kembali dengan FAM bagi mendapatkan hak yang setimpal dan dipersetujui semua pihak.

"Sekiranya FAM membuka pintu untuk bincang kembali berhubung pampasan Akhayar, KFA bersedia untuk hadir pada pertemuan empat mata ini.

"Namun jika tidak ada perkembangan positif kami akan tetap dengan langkah seterusnya membawa perkara ini ke CAS bagi mengadili kembali kes ini," katanya kepada Sukan Sinar.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang berkata hal tersebut tidak perlu dibawa sehingga ke CAS malah boleh diselesaikan secara dalaman dengan lebih baik.

Menurutnya, mungkin wujud salah faham berhubung pemahaman mengenai peruntukan dalam urusan perpindahan pemain itu dan FAM bersedia berbincang dengan KFA.

“FAM selaku badan induk bersedia mencari jalan terbaik bagi menangani apa jua masalah yang membabitkan ahli gabungannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, KFA mahu membawa kes berkenaan ke CAS selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM menolak rayuan berhubung jumlah pampasan Akhyar.

Badan induk tersebut dalam kenyataannya yang bersidang semalam mengekalkan keputusan yang dibuat awal bulan ini bahawa pengadu, Akhyar perlu membayar pampasan kontraknya sebanyak RM210,000.

Manakala mana-mana pasukan baharu mendapatkan khidmat pemain itu perlu membayar jumlah pampasan latihan sebanyak RM75,000 kepada KFA.