Lapan unit asrama terbakar, 17 pelajar tahfiz terselamat

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad (dua dari kiri) dan Hasnuddin (dua dari kanan) meninjau di lokasi kejadian hari ini.
A
A

TEMERLOH - Seramai 17 pelajar lelaki Madrasah Ad Diniah Al Ismailiah di Kampung Paya Jauh di sini terselamat selepas lapan daripada 64 unit asrama madrasah itu musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kesemua pelajar tiada di asrama terbabit ketika kebakaran tersebut berlaku.

Seramai 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin dan BBP Temerloh dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera tangki air dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang awam pada jam 10.28 pagi.

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di madrasah terbabit yang menyaksikan lapan unit asrama musnah.
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di madrasah terbabit yang menyaksikan lapan unit asrama musnah.

Ketua operasinya, Penolong Penguasa Bomba, Hasnuddin Husin berkata, sebaik tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati api sedang marak di asrama berkenaan.

"Bangunan asrama berkenaan adalah separa kekal iaitu separuh kayu. Tindakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal kebakaran dan seterusnya menggunakan satu aliran hos sepanjang kira-kira 61 meter, dua nozzel, satu breaching selain bantuan satu aliran hos 61 meter serta nozel pam jentera dari BBP Temerloh.

"Api berjaya dikawal pada jam 10.51 pagi dan operasi berakhir pada jam 1.25 petang tadi," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang pekerja Alam Flora yang juga saksi kejadian, Mohammad Farhan Abdul Rahman, 27, memberitahu dia terlihat api sebaik tiba di lokasi kejadian.

Katanya, dia datang ke madrasah itu untuk mengutip sampah di lokasi terbabit dan segera membuat panggilan telefon kepada pihak bomba.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia