Buruh ladang maut kemalangan motosikal

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A
LAHAD DATU – Seorang buruh ladang maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal seorang remaja lelaki di Jalan Kampung Tanjung Labian, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, Norizam Husin, 23, maut manakala remaja lelaki berusia 14 tahun cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata lelaki maut itu dipercayai menunggang motosikal secara laju dari arah bandar Lahad Datu menuju ke Jalan Pantai Tanjung Labian dan masuk ke lorong bertentangan di kawasan jalan selekoh.

"Mangsa tidak perasan terdapat sebuah motosikal tanpa lampu di hadapannya, sehingga menyebabkan kemalangan antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nasri berkata remaja cedera parah itu dikenali sebagai Muhammad Syah Saphan.
Artikel Berkaitan:


"Kemalangan dipercayai berpunca daripada simati yang gagal mengawal motosikalnya sehingga menyebabkan kemalangan," katanya dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama