ADUN Balakong tuntut penjelasan Pos Malaysia

Pembantu ADUN Balakong sebelum ini membuat laporan polis memaklumkan menerima sepucuk surat berbaur ugutan jenayah dan terdapat sebilah senjata tajam dalam sampul surat berkenaan. (Gambar kecil: Siew Ki)
Pembantu ADUN Balakong sebelum ini membuat laporan polis memaklumkan menerima sepucuk surat berbaur ugutan jenayah dan terdapat sebilah senjata tajam dalam sampul surat berkenaan. (Gambar kecil: Siew Ki)
A
A
A

BALAKONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong menuntut penjelasan daripada Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) berhubung kes kiriman sampul surat mengandungi sebilah senjata tajam diterima pembantunya Selasa lalu.

Wong Siew Ki berkata, pihaknya juga menuntut beberapa perkara daripada agensi itu dan akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuntutan tidak dipenuhi

Menurutnya, pihak itu digesa menarik balik dengan serta-merta kenyataan dimuat naik di Facebook yang dikatakan ada kena-mengena dengan kes tersebut dan meminta maaf secara terbuka kepada mangsa dan ahli keluarganya.

“Saya minta siasatan dalaman berkenaan isu ini dijalankan dan mohon pihak itu meneliti prosedur operasi standard (SOP) kiriman yang diletakkan dalam sampul surat biasa dengan segera.

“Laporan siasatan itu perlu dikongsi kepada orang awam supaya pengguna mengetahui proses operasi Pos Malaysia sekaligus menangani isu seperti itu,” katanya.

Beliau berkata, penjelasan daripada Pos Malaysia penting supaya kes seperti itu tidak dipandang ringan pada masa akan datang apatah lagi ia melibatkan nyawa seseorang.

Katanya, pihaknya juga berharap kes itu tidak dimanipulasi mana-mana pihak dan memberi ruang secukupnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

“Dalam naratif Malaysia Baharu, kita percaya setiap orang ada pendapat masing-masing namun ini tidak sepatutnya menjurus kepada jenayah-jenayah ugutan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau berkata maklum balas diberi oleh admin Facebook Pos Malaysia berhubung isu itu dimanipulasi banyak pihak dan seolah-olah kes tersebut dan laporan polis dibuat pihaknya adalah palsu.

Menurutnya, pihak terlibat perlu memahami keadaan semasa dan tidak membuat apa-apa kenyataan secara melulu.

“Kami rasa kecewa kerana kenyataan Pos Malaysia seolah-olah menafikan kiriman tersebut dihantar oleh mereka sedangkan sampul surat surat bersaiz A4 terkandung keris di dalamnya dikirim kepada pihak kami oleh posmen.

“Pos Malaysia sepatutnya teliti dahulu isu dan keadaan semasa sebelum keluarkan kenyataan lebih-lebih lagi siasatan polis masih dijalankan. Pihak itu juga sepatutnya menjalankan siasatan dalaman berkenaan isu ini,” katanya.

Tambahnya, Pos Malaysia tidak sepatutnya mengeluarkan apa-apa jua kenyataan atau cuba menolak tanggungjawab sebelum menjalankan sebarang siasatan seolah-olah tahu apa yang telah berlaku.

Katanya, sebarang tuduhan secara langsung atau tidak langsung disebabkan oleh kenyataan Pos Malaysia adalah tidak adil kepada mangsa.

“Kes ugutan melibatkan senjata berbahaya dan nyawa ini tidak sepatutnya dipandang rendah oleh mana-mana pihak. Hal ini amat membimbangkan kerana kita tidak tahu sekiranya ada kegiatan jenayah lain yang menggunakan kiriman melalui Pos Malaysia.

“Pihak berkenaan mesti minta maaf kepada mangsa kerana isu ini telah dimanipulasi dan menjejaskan nama baik mangsa dan keluarganya,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pembantu politik kepada ADUN Balakong membuat laporan polis selepas menerima sepucuk surat berbaur ugutan jenayah yang difahamkan berkaitan dengan kempen bantah tulisan jawi.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, laporan dibuat mangsa berusia 42 tahun pada jam 5.15 petang selepas surat berbaur ugutan jenayah selain terdapat sebilah senjata tajam itu diposkan ke rumahnya di Kajang.

Isu itu menjadi hangat di media sosial apabila ada pengguna Facebook yang bertanya di ruangan komen akaun Facebook Pos Malaysia sama ada pengguna boleh mengirim keris menggunakan sampul surat dengan setem.

Soalan tersebut dijawab pentadbir Facebook Pos Malaysia Berhad yang memaklumkan keris dan senjata berbahaya adalah barangan larangan untuk pengeposan dan barangan seperti itu akan ditahan dan dirampas.