Agensi terlibat pengurusan bencana perkemas sistem amaran awal

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut mangsa Taufan Lekima, Jamilah Othman dan Saad Doon ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa Taufan Lekima di Kampung Alor Batu hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut mangsa Taufan Lekima, Jamilah Othman dan Saad Doon ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa Taufan Lekima di Kampung Alor Batu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JITRA - Semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana diminta supaya memperkemaskan lagi sistem amaran awal bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dapat ditingkatkan setiap kali menghadapi sebarang bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sistem yang lebih pantas dan berkesan dalam mengesan bencana sangat penting bagi memastikan maklumat segera sampai kepada semua pihak supaya persediaan dapat dilakukan secukupnya.

"Saya diberitahu semasa kejadian (ribut akibat taufan Lekima) baru-baru ini, pihak MET (Jabatan Meteorologi Malaysia) ada keluarkan amaran, namun pada masa itu nelayan sudah turun ke laut.

"Keadaan sebelum itu aman, tidak ada apa-apa dan amaran ribut dikeluarkan selepas itu, mereka (nelayan) dah ada di laut," katanya selepas menziarahi kediaman keluarga Marziah Che Omar, 27, yang meninggal dunia dalam kemalangan semasa kejadian Lekima pada 9 Ogos lepas di Taman Bersatu di sini hari ini.

Beliau turut menemui keluarga Azimat Hasan, 62, yang meninggal dunia selepas dikatakan terjatuh dari bot fiber akibat keadaan cuaca buruk dan laut bergelora di perairan berhampiran Jeti Tok Arab, dekat Jerlun pada hari sama.

Azizah juga turut meluangkan masa meninjau keadaan rumah dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada seorang penduduk, Saad Doon, 61, di Kampung Alor Batu, Mukim Gelong dekat sini yang kediamannya terjejas teruk akibat ribut sama.

Sementara itu, menurut Azizah mesyuarat Kabinet pada 14 Ogos lalu juga bersetuju menyalurkan peruntukan RM17.025 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi membantu mangsa terjejas akibat ribut berkenaan.

"Peruntukan ini digunakan untuk membiayai perolehan sama ada barangan atau perkhidmatan yang berkaitan dengan kerja membaik pulih kediaman mengikut penilaian kerosakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setiap keluarga yang terjejas akibat Lekima juga menerima wang ihsan berjumlah antara RM200 hingga RM500 mengikut tahap kerosakan rumah masing-masing.

"Bantuan ini ihsan kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban mangsa dan bukanlah sebagai ganti rugi kerana kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kesedihan akibat bencana seumpama ini tidak ada ganti rugi yang mampu dibayar," katanya.

Taufan Lekima memberi kesan terhadap tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Pahang hingga mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang dan bumbung diterbangkan selain kerosakan fizikal termasuk kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas.

Di Kedah sebanyak 2,325 rumah dan lebih 70 sekolah termasuk kuarters guru terkesan manakala dua nyawa terkorban. - Bernama