Penduduk bimbang hutan diancam musnah

Najwan berbincang dengan beberapa penduduk Taman Bukit Bayu.
Najwan berbincang dengan beberapa penduduk Taman Bukit Bayu.
A
A
A

SHAH ALAM - Residen di kawasan Taman Bukit Bayu U10 Shah Alam menyuarakan kerisauan dan kebimbangan mereka berkenaan kerosakan hutan simpan berhampiran taman itu akibat kerakusan aktiviti pembangunan.

Wakil penduduk, Nazri Elias berkata, pihaknnya ada membuat aduan pada Jun lalu berhubung aktiviti pembangunan itu dan kerajaan negeri telah naikkan papan tanda pemberitahuan milikan kawasan, namun selang beberapa bulan pemaju menaikkan papan tanda lain, yang memberitahu milikan persendirian.

"Kerakusan aktiviti pembangunan di situ kebelakangan ini dikhuatiri akan menyebabkan kemusnahan kepada kawasan hutan dan alam semulajadi.

"Pada Jun lalu, saya dah buat aduan setelah pemaju masuk ke sini tanpa sebarang tanda kelulusan aktiviti pembangunan, jadi kita pun tak tahu sah atau tidak. Kemudian pihak berkuasa tempatan (PBT) naikkan papan tanda hak milik kerajaan.

Salah satu jentolak yang sedang beroperasi.
Salah satu jentolak yang sedang beroperasi.

"Namun, bulan lepas mereka kembali teruskan aktiviti menjarah hutan dan tiba-tiba mereka naikkan papan tanda mengatakan kawasan persendirian serta pintu pagar zink," katanya kepada pemberita, hari ini.

Hadir sama, Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi serta Ahli Majlis MBSA Zon, S Gandhimathi untuk mendengar aduan penduduk selain meninjau keadaan dan situasi yang didakwa.

Selain itu, dalam aduan pada Jun lalu, Nazri berkata pihaknya dimaklumkan oleh Kementerian Pertanian bahawa, memang ada permohonan kementerian kepada kerajaan negeri agar kawasan hutan itu disekalikan dengan hutan di bawah Taman Botani memandangkan ia bersambung dan tiada sempadan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kami pun musykil dengan pemaju yang kita nampak sebarang tanda kelulusan sepertimana sepatutnya bagi sesebuah aktiviti pembangunan, apatah lagi bila kerajaan negeri naikkan papan tanda notis milikan, kemudian pemaju naikkan papan tanda kata milik persendirian pula," katanya.

Pagar zink yang dibina oleh pemaju bagi menghalang pencerobohan.
Pagar zink yang dibina oleh pemaju bagi menghalang pencerobohan.

Berkongsi sentimen sama adalah Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), T Damien yang menjelaskan kawasan hutan di situ adalah habitat bagi sekurang-kurangnya lima spesies hidupan liar terancam.

"Kawasan hutan di situ yang bersambungan dengan hutan simpan Taman Botani Negara bukan sahaja kaya dengan nilai khazanah alam semulajadi malah ia antara hutan asal terakhir di bandaraya Shah Alam, namun kini diancam pembangunan.

"Bukan itu saja, kawasan ini juga antara lokasi tumpuan peminat aktiviti rekreasi yang datang termasuk dari luar negara.

"Jadi, selain status kawasan dan tanah yang perlu dijelaskan, saya fikir perlu dinilai juga kesan dan impak aktiviti terhadap alam semulajadi dalam mana-mana pembangunan," katanya.

Menerusi pemerhatian Sinar Harian di lokasi berkenaan hari ini, kelihatan dua jentolak sedang beroperasi di kawasan hutan dengan kerja-kerja menolak pokok dipercayai untuk membuka laluan.

Bunyi bising jentolak juga dapat kedengaran dari kawasan Taman Bukit Bayu yang dianggarkan beberapa ratus meter daripada kawasan jentolak beroperasi.

Akan semak semula satus milikan dan kelulusan

Sementara itu, Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi menjelaskan beliau akan melakukan semakan semula secara terperinci berkaitan status milikan bagi kawasan hutan berhampiran Taman Bukit Bayu.

Menurutnya, menerusi semakan sebelum ini, beliau difahamkan kawasan itu memang telah dilotkan kepada pemilik tertentu, namun terdapat sedikit kekeliruan disebabkan timbul isu yang kurang jelas.

Beberapa penduduk bersama Najwan dan Gandhimathi meninjau aktiviti pembangunan di hutan berhampiran Taman Bukit Bayu.
Beberapa penduduk bersama Najwan dan Gandhimathi meninjau aktiviti pembangunan di hutan berhampiran Taman Bukit Bayu.

"Saya dah buat semakan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) lepas dapat aduan terbaru ini, dan dimaklumkan kepada saya tanah kawasan sini memang dah ada pemilik termasuk yang sedang ditarah ini, maksudnya telah dibuat lot-lot tertentu.

"Namun, saya juga difahamkan belum ada kepastian sama ada pemilik ini dah bayar premium atau tidak, proses itu selesai atau tidak sebab ia dilaksanakan sebelum 2008, jadi perkara itu saya perlu semak dan pastikan terlebih dahulu termasuk dengan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling," katanya.

Terdahulu, aduan penduduk Taman Bukit Bayu berkaitan kebimbangan mereka dengan aktiviti pembangunan di situ turut mendapat perhatian Najwan yang seterusnya membawa perkara itu kepada perhatian kerajaan.

Sementara itu, Ahli MPP Zon 20, S Gandhimathi memberitahu menerusi semakan dengan PBT, memang ada kelulusan daripada Jabatan Perancangan serta Jabatan Kejuruteraan MBSA bagi aktiviti di situ.

"Semalam saya buat semakan, memang ada kelulusan untuk aktiviti pembangunan di sini. Bagaimanapun kita sebagai PBT tetap tertakluk kepada prosedur ditetapkan serta arahan kerajaan negeri.

"Jadi biar saya rujuk semula berkenaan perincian isu sama ada premium telah dijelaskan atau tidak kerana jika pemaju belum selesaikan premium milikan tidak akan diberikan.

"Apa sekali pun, kami sentiasa menyokong prinsip pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar yang seiring, jadi biar saya semak dalam masa terdekat berhubung isu yang diutarakan penduduk di sini," katanya.