Gojek bantu anak muda tambah pendapatan

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung
A
A
A

KUANTAN - Cadangan pelaksanaan teksi motosikal atau Gojek di negara ini dilihat sebagai satu peluang kepada golongan muda untuk menjana atau menambah pendapatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu yang juga Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut walaupun ia bukanlah penyelesaian kepada masalah pengangguran dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, dalam keadaan negara masih belum berupaya menjana ekonomi yang terbaik, langkah melaksanakan Gojek itu amat wajar supaya anak-anak muda khususnya boleh cuba berusaha mencari pendapatan tambahan mereka secara halal dan sihat.

"Kita mendengar pelbagai pandangan berbeza pro dan kontra di dalam isu ini termasuk dari persatuan teksi, Grab dan juga daripada pelbagai pertubuhan bahkan menarik minat Mufti juga. Kesemua pandangan itu haruslah kita raikan bersama.

"Saya menyokong Gojek ini atas dasarnya untuk memberi peluang anak-anak muda menjana pendapatan secara halal," katanya.

Chean Chung berkata, soal peraturan dan sebagainya perlulah difikirkan bersama supaya perkhidmatan Gojek itu tidak mendatangkan masalah atau mudarat berbanding kebaikannya.

"Sudah tentu perlu ada syarat ketat kepada mereka yang mahu memilih Gojek sebagai penjana pendapatan. Aspek utama yang perlu diberi perhatian termasuk keselamatan penunggang dan pembonceng serta orang awam.

"Penunggang lelaki hanya boleh menerima penumpang lelaki sahaja, begitulah sebaliknya. Ini bagi menentukan keselamatan penumpang serta tidak mendatangkan fitnah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin, jika perbincangan dapat dibuat dengan baik dengan mendengar semua pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak, rancangan kerajaan ini patut disokong.