Kayuhan Merdeka tiup semangat patriotik

Sebahagian daripada 250 peserta yang menyertai Kayuhan Merdeka anjuran Kelab Basikal JPNT.
Sebahagian daripada 250 peserta yang menyertai Kayuhan Merdeka anjuran Kelab Basikal JPNT.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Acara Kayuhan Merdeka anjuran Kelab Basikal Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Kayuhan sejauh 30 kilometer (km) bermula jam 7.30 pagi bergerak dari Dataran Anjung Ilmu JPNT menuju ke tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong dan SMK Seri Nilam bagi penyerahan bendera, plak serta acara perasmian Bulan Kemerdekaan.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Matsor Ismail berkata, program yang disertai seramai 250 peserta itu antaranya bertujuan meniup semangat patriotik dan cintakan negara.

Katanya, ia adalah program julung kali diadakan melibatkan peserta dari setiap daerah.

Guru-guru SMK Seri Nilam berpakaian Jalur Gemilang bagi menyerlahkan rasa kecintaan dan semangat patriotik.
Guru-guru SMK Seri Nilam berpakaian Jalur Gemilang bagi menyerlahkan rasa kecintaan dan semangat patriotik.

"Acara Kayuhan Merdeka atau Merdeka Ride anjuran JPNT kali ini lebih meriah kerana melibatkan peserta dalam skala yang agak besar.

"Selain penglibatan guru, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Majlis Guru Besar, Persatuan Pengetua Malaysia Terengganu, ia juga melibatkan murid-murid daripada 10 buah sekolah yang berada di sepanjang jalan bagi mengibarkan Jalur Gemilang," katanya ketika ditemui di SMK Seri Nilam di sini.

Pengetua SMK Seri Nilam, Zaliha Mat Jusoh berkata, seramai 600 pelajar sekolah itu berkumpul bagi menyambut ketibaan pasukan Kayuhan Merdeka itu.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan pelajar begitu teruja untuk menyambut ketibaan konvoi Kayuhan Merdeka itu.

Sebahagian daripada 600 pelajar yang menyambut ketibaan konvoi pasukan Kayuhan Merdeka di SMK Seri Nilam.
Sebahagian daripada 600 pelajar yang menyambut ketibaan konvoi pasukan Kayuhan Merdeka di SMK Seri Nilam.

"Ketibaan mereka disambut dengan persembahan daripada kumpulan ultras SMK Seri Nilam. Mereka dijamu dengan pelbagai juadah termasuk buah-buahan tempatan.

"Sambutan lebih meriah kerana kita juga telah membuat beberapa persiapan sempena sambutan Hari Merdeka dengan lukisan mural di dinding bangunan sekolah.

"Selain itu, kita juga ada gantung Jalur Gemilang gergasi pada bangunan sekolah bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan kali ini," katanya.

Sementara itu, tiga pelajar SMK Seri Nilam yang ditemui berkata, mereka begitu teruja dengan sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

Ashraf Fahimi Azmi, 14, dari Kampung Beladau Kepong berkata, sebagai rakyat Malaysia, sambutan Hari Kebangsaan adalah saat paling bermakna dan perlu dihargai.

Ashraf Fahimi (kiri) bersama rakannya memegang Jalur Gemilang.
Ashraf Fahimi (kiri) bersama rakannya memegang Jalur Gemilang.

"Merdeka bermaksud negara Malaysia bebas daripada penjajahan.

"Kalau boleh kita semua mahu hidup aman, tidak mahu dijajah dan mengekalkan keharmonian yang dinikmati hari ini," katanya.

Senada dengan Ashraf Fahimi, Nur Liyana Muhamud, 15, dari Kampung Pulau Musang berkata, selain negara yang bebas, erti kemerdekaan sebenar ialah minda yang bebas daripada penjajahan.

Nur Liyana (kanan) dan Nur Habibah Najwa bersama Jalur Gemilang.
Nur Liyana (kanan) dan Nur Habibah Najwa bersama Jalur Gemilang.

"Bebas daripada penjajahan juga bererti minda kita juga perlu bebas daripada dijajah. Selain negara yang bebas daripada cengkaman penjajah.

"Inilah saat yang kita perlu hayati dan nikmati dengan sebaik mungkin," katanya.

Nur Habibah Najwa Noordin, 15, dari Kampung Kubang Parit pula berkata, merdeka ialah lambang kemenangan daripada penjajahan.

"Setiap kali sambutan Hari Merdeka, saya rasa terharu. Saya cuba menyelami keperitan dilalui para pejuang dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

"Sejujurnya saya amat berbangga kerana negara kita bebas daripada penjajahan," katanya.