Kaji larangan tulisan jawi pada produk bukan Islam

Muhammad Muhiyuddin
Muhammad Muhiyuddin
A
A
A

IPOH - Gesaan melarang tulisan jawi pada pembungkusan produk bukan Islam oleh Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) perlu diteliti dan dikaji Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) secara serius.

Yang Dipertua (YDP) Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, pihaknya berpendapat cadangan itu perlu dikaji sama ada bersesuaian dengan keperluan rakyat terutama masyarakat beragama Islam sebelum dilaksanakan satu resolusi atau garis panduan.

Menurutnya, perkara paling penting, agensi kerajaan bertanggungjawab perlu menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang terhadap mana-mana pengusaha produk bukan Islam yang didapati menyalahgunakan tulisan jawi atau logo halal dikeluarkan Jakim untuk mengelirukan pengguna beragama Islam.

"Saya fikir gesaan mewujudkan akta khas melarang tulisan jawi pada pembungkusan produk bukan Islam lebih terarah kepada kelompangan yang berlaku akibat kurangnya penguatkuasaan undang-undang terhadap produk bukan Islam yang tidak patuh syariah.

"Memandangkan industri halal menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tinggi kepada negara dengan nilai pasaran dunia hampir RM10 bilion, saya fikir kerajaan perlu mengkaji dan mengemukakan satu resolusi bersandarkan pendekatan patuh syariah untuk dikemukakan sebagai satu dasar kerajaan pada masa hadapan," katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan MCED yang menuntut kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk bukan Islam kerana ia mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk.

Menurutnya, pihaknya turut menggesa kerajaan melalui Jakim menambah kakitangan bagi mengawal selia status halal sesuatu produk dikeluarkan syarikat bukan Islam secara lebih ketat agar benar-benar memenuhi keperluan patuh syariah dan logo halal dikeluarkan jabatan itu.

Artikel Berkaitan: