Utamakan status halal berbanding tulisan pada produk

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tumpuan perlu diberikan terhadap status halal berbanding tulisan yang tertera pada sesuatu produk.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Ahmad Izani Ab Ghani berkata, status halal bagi sesuatu produk bukan terletak pada tulisan jawi, ia bergantung kepada praktis dan pemantauan.

"Kita harus faham tulisan jawi tiada kena mengena dengan agama sebagaimana kita belajar tulisan dan bahasa seperti Cina atau Tamil.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan guna tulisan jawi pada produk bukan Muslim

"Ia (jawi) menjurus kepada bahasa sebagai pengantara komunikasi dan langsung tidak berkait dengan agama atau ritual agama," katanya ketika diminta mengulas mengenai gesaan supaya kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk bukan Islam.

Beliau berkata, tulisan jawi tidak melambangkan agama bahkan al-Quran tidak ditulis dalam jawi tetapi ditulis dalam bahasa Arab.

"Status halal pula bergantung kepada amalan dan praktis. Tidak salah juga kita tulis dalam pelbagai bahasa sama ada Melayu, Cina dan Tamil untuk menyatakan sesuatu produk itu halal dan baik.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Izani Ab Ghani
Ahmad Izani Ab Ghani

"Paling penting, semua masyarakat perlu faham bahawa tulisan jawi tarafnya sama dengan roman, cuma jawi mengandungi huruf-huruf dalam al-Quran," katanya ketika dihubungi.

Mengakui tulisan jawi tidak menjadi isu dalam sesuatu produk, Ahmad Izani berkata, amalan dan pemantauan yang perlu diutamakan bagi memastikan status halal.

"Bagi produk keluaran syarikat bukan Muslim pun, paling penting adalah amalan dan pemantauan. Misalnya di negara China, produk Muslim pun ada ditulis tulisan Cina.

"Masyarakat juga harus dididik bahawa tulisan jawi itu bukan mengenai agama, ia adalah satu medium. Tulisan jawi menjadi isu setelah Ia dianggap sebagai sebahagian agama," katanya.

Terdahulu, Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) menggesa kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk bukan Islam.

Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris berkata, tulisan jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk.