'Beri mereka status PR'

P Waytha Moorthy
P Waytha Moorthy
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy hari ini melahirkan harapan agar pejawat awam yang berasal dari Semenanjung yang sudah lama berkhidmat dan mahu terus menetap di Sabah selepas pencen, dapat diberikan status penduduk tetap (PR) di Sabah.

Waytha Moorthy, menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial berkata, ramai pejawat awam daripada Semenanjung yang mahu terus menetap di Sabah walaupun sudah pencen kerana suka dengan kehidupan di negeri ini.

“Ada yang datang kepada saya dan menyatakan mereka mahu terus tinggal di Sabah walaupun sudah pencen kerana mereka menganggap Sabah adalah negeri yang aman damai dan harmoni.

“Oleh itu hari ini saya telah membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ia adalah salah satu perkara yang kita telah bincangkan dan beliau (Mohd Shafie) berkata akan untuk memberi perhatian sewajarnya kepada pejawat awam Semenanjung yang telah lama berkhidmat di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat kepada Mohd Shafie di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Untuk rekod, Seksyen 66 Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) merujuk kepada sekatan ke atas hak masuk warganegara ke dalam negeri di Malaysia timur, di mana seseorang warganegara adalah tertakluk kepada memiliki Pas atau Permit untuk memasuki dan berada di negeri Malaysia timur (Sabah/Sarawak).

Waytha Moorthy berkata, selain itu terdapat beberapa perkara lain yang dibincangkan semasa perjumpaan itu, termasuk isu-isu berkaitan perpaduan negara.

“Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah dan persekutuan akan terus menganjurkan beberapa program demi memupuk perpaduan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

“Ketua Menteri juga telah bersetuju untuk memberikan satu peruntukan khas bagi memastikan JPNIN Sabah dan Kawasan Rukun Tetangga dapat terus melaksanakan aktiviti masing-masing,” katanya. - Bernama