Dasar Pelancongan Negara dilaksana tahun depan

Wan Azizah Wan Ismail
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 bagi menentukan hala tuju strategik pelancongan negara bakal dilaksana tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, dasar yang sedang digubal Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu akan menjadi panduan dalam merancang pembangunan sektor pelancongan bagi mengoptimumkan potensinya sebagai satu daripada pemacu ekonomi utama negara.

Malaysia mencatat pertumbuhan 6.8 peratus dalam pendapatan pelancongan kepada RM41.69 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini.

"Tahun 2020 telah ditetapkan sebagai tahun Melawat Malaysia (VM2020) yang menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion. Bagi merancakkan kempen ini, kerajaan telah melancarkan bantuan peruntukan Galakan Melancong Malaysia (Gamelan) kepada penggiat-penggiat industri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, dana pelancongan khas berjumlah RM5 juta akan diguna untuk membantu sektor swasta yang terlibat dalam program promosi dan pemasaran pelancongan domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, bagi menjayakan kempen VM2020, keramahan dan kesopanan rakyat Malaysia sebagai tuan rumah yang baik perlu ditonjolkan pada setiap masa terutama ketika menyambut pelancong.

Rakyat Malaysia juga diseru untuk mengutamakan kebersihan dan menyayangi harta awam, terutama di kawasan-kawasan pelancongan, katanya.

"Kempen VM2020 adalah agenda nasional yang memerlukan penglibatan semua pihak. Sehubungan itu, adalah menjadi kewajipan semua pihak termasuk kementerian, kerajaan negeri, jabatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat umum untuk memastikan kejayaan kempen ini," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, Dasar Kebudayaan Negara (DKN) juga sedang digubal sebagai rujukan dan punca kuasa berhubung hala tuju seni, budaya dan warisan negara dan dijangka dilancarkan akhir tahun ini.

"Sektor kebudayaan menjana pendapatan sebanyak RM529.8 juta pada tahun 2018 melalui penjualan produk-produk kraf, perkhidmatan seni dan budaya dan tempat-tempat tarikan warisan yang kaya dengan nilai-nilai seni dan budaya,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia