Untung bersih Pharmaniaga meningkat kepada RM9.28 juta

No Image Caption
A
A
A

KEUNTUNGAN bersih Pharmaniaga Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2019 meningkat kepada RM9.28 juta daripada RM5.39 juta yang dicatatkan pada suku sama 2018.

Perolehan meningkat 3.3 peratus kepada RM601.89 juta daripada RM582.73 juta bagi tempoh yang sama, didorong terutama oleh permintaan lebih kukuh di bawah bahagian Indonesia, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2019, syarikat meraih perolehan lebih tinggi sebanyak RM1.39 bilion berbanding RM1.20 bilion bagi tempoh sama 2018, dengan dipacu prestasi positif perniagaan konsesi dan bukan konsesi.

Dalam kenyataan berasingan, Pharmaniaga berkata seiring dengan komitmen pihaknya untuk meningkatkan nilai pemegang saham, ia mengumumkan dividen interim kedua pada 2.5 sen sesaham, boleh bayar pada 11 Okt, 2019.

Pengarah Urusan, Datuk Farshila Emran berkata syarikat juga memperoleh manfaat daripada perbelanjaan cukai korporat lebih rendah, mengimbangi kesan sumbangan margin yang berkurangan serta kos kewangan lebih tinggi.

“Kami bersedia untuk mengambil peluang pertumbuhan memandangkan Pharmaniaga telah memperluaskan portfolio produk menerusi penyelidikan dan pembangunan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

"Di samping itu, usaha pemasaran strategik akan membolehkan Pharmaniaga memperkukuhkan kedudukan dalam sektor swasta,” katanya.

Farshila berkata syarikat akan terus mempertingkatkan kedudukan di peringkat global, khususnya di Indonesia yang kekal menjadi pasaran pertumbuhan utama.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan kekal menumpukan penambahbaikan operasi syarikat secara berterusan untuk memastikan kecekapan lebih baik dan pengoptimuman kos, dalam usaha menggalakkan pertumbuhan mampan Pharmaniaga,” katanya. - Bernama