Cadang kajian masyarakat majmuk erat perpaduan

Ahmad Fakhruddin
Ahmad Fakhruddin
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan (KPM) disyorkan melakukan kajian lapangan berhubung tahap penghayatan hidup bermasyarakat majmuk kalangan murid sekolah rendah dan menengah, untuk memperoleh input mengenai perpaduan kaum.

Timbalan Pengerusi II Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, hasil kajian itu perlu dianalisa agar dapat mencari penyelesaian bagi mengeratkan perpaduan kaum, yang kini dilihat tercalar dengan isu-isu sensitif.

Menurutnya, hasil kajian juga wajar dikongsi menerusi laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025, pada tahun hadapan.

“KPM hendaklah proaktif dan konsisten mendidik generasi akan datang hidup aman sejahtera kerana keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk terbentuk daripada acuan pendidikan,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, falsafah pengajian sejarah juga wajar diperkasakan agar murid dapat membina jati diri membina rakyat sejahtera dengan semangat patriotisme.

“Hari ini, KPM lebih tumpukan soal pembangunan fizikal, prasarana dan logistik sekolah, pencapaian akademik melalui peratusan gred A, sedangkan yang lebih penting adalah penghayatan semangat ilmu,” katanya.

Menurutnya, pemupukan nilai-nilai toleransi kaum, kerjasama membina negara serta memelihara jati diri berteraskan kasih sayang antara elemen harus diserapkan menerusi silibus mata pelajaran sekolah atau ko-kurikulum.

“Perpaduan kaum berbilang bangsa merupakan teras penting penyatuan rakyat sesebuah negara. Malaysia tidak terlepas daripada masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai keturunan termasuk etnik Sabah dan Sarawak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ini menyebabkan penting untuk setiap rakyat memahami sosio-budaya sesuatu kaum, adat, amalan keagamaan dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Perpaduan antara kaum akan kukuh apabila rakyat saling memahami budaya masing-masing, kefahaman ini harus dibentuk dan dihayati semula setiap lapisan rakyat.

"Sekiranya mana-mana aspek dicerobohi, kita akan berdepan dengan pertelingkahan, ketegangan serta rusuhan kaum yang membawa kepada kemusnahan negara,” katanya.