Seni dikembalikan ke dalam sistem pendidikan

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan telah menggerakkan usaha menghasilkan Dasar Pendidikan Seni Negara bagi mengembalikan seni ke dalam sistem pendidikan untuk melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan bersifat manusiawi, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, gabungan seni dan pendidikan akan menjadikan masyarakat dan anak-anak mempunyai sikap menghargai dan mencungkil ruang estetik dalam jiwa mereka.

"Tanpa perasaan estetik, seseorang itu akan menjadi kering kontang, mudah terjerumus kepada penghukuman dan melihat dunia ini dari kaca hitam dan putih sahaja, selain membawa kepada kecenderungan ekstrimisme," katanya semasa melancarkan Program Pendidikan Seni Cendana di sini hari ini.

Berkongsi pengalaman menetap di United Kingdom, Maszlee berkata, anak-anaknya bukan sahaja belajar akademik di sekolah tetapi pada setiap bulan mereka akan turut serta dalam pementasan teater dan diajar pelbagai perkara berkaitan kesenian.

Dalam pada itu, Program Pendidikan Seni Cendana yang dilaksanakan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) untuk pelajar darjah tiga hingga enam sekolah kebangsaan termasuk Cina dan Tamil dengan keutamaan diberikan kepada sekolah sub-bandar, luar bandar, B40, orang asli dan pendidikan khas.

Program itu terbahagi kepada dua iaitu Program #BASKL Lawatan Seni Sambil Belajar (AEX) dan Program Artis di Sekolah (AISP).

Di bawah AEX, pelajar akan mendapat pendedahan langsung melalui lawatan berpandu ke pameran seni visual dengan setiap sekolah terpilih akan diberikan peruntukan sehingga RM5,000 setahun untuk membiayai kos pengangkutan, makanan dan minuman serta insurans bagi 108 pelajar ke acara terpilih.

Di bawah AISP pula, penggiat seni terpilih akan memberikan kursus-kursus seni di sekolah melibatkan peruntukan RM8,000 bagi setiap sekolah.

Artikel Berkaitan:

Organisasi seni atau pentadbir sekolah yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua program itu boleh menghubungi Cendana di talian 03-76887599 atau emel kepada artedu.cendana@gmail.com atau layari laman sesawang cendara di www.cendana.com.my.

Mengulas isu pelajar genius Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin yang pernah disabitkan kesalahan pedofilia dan kini menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maszlee berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan naib canselor universiti berkenaan.

"Kalau ada apa-apa maklum balas daripada UKM saya akan beritahu kepada media," katanya ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka selepas isu itu tular di media sosial.

Nur Fitri Azmeer pernah menjadi perhatian ramai pada 2015 apabila dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak ketika melanjutkan pengajian di Imperial College London. - Bernama