Banjir lumpur: Pemaju projek lebuh raya bertingkat dikena perintah henti kerja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Alam Sekitar mengenakan Perintah Berhenti Kerja terhadap satu projek pembinaan lebuh raya bertingkat yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam, kerana kegagalan mengatasi masalah banjir lumpur di kawasan MRR2, 14 Ogos lepas.

Pengarah JAS Kuala Lumpur, Nor Aziah Jaafar berkata, berdasarkan siasatan penguatkuasaan oleh pihaknya di tapak projek pada hari berikutnya, pemaju projek berkenaan didapati telah mencabuli Syarat-Syarat Kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sehingga menyebabkan insiden banjir lumpur di kawasan itu.

Jelasnya tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 34AA, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2012.

"Insiden banjir lumpur itu telah menjejaskan aliran trafik dan para pengguna jalan raya. Dengan berkuatkuasanya Perintah Berhenti Kerja tersebut, tiada sebarang kerja tanah dan pembinaan di tapak projek boleh dijalankan sehingga langkah meremedi dilaksanakan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Antara tindakan remedi yang telah diarahkan JAS ialah melaksanakan serta-merta kawalan hakisan tanah dan kelodakan yang berkesan, pengurusan air larian permukaan, penyelenggaraan sistem perparitan, penstabilan cerun-cerun yang terdedah serta pelaporan harian status tindakan remedi kepada JAS.

Nor Aziah berkata, kegagalan pemaju projek mematuhi Perintah Berhenti Kerja itu merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan kejadian hujan lebat pada lewat petang, beliau turut mengingatkan pemaju projek di fasa kerja tanah dan pembangunan di Kuala Lumpur agar mempertingkatkan kawalan hakisan tanah dan kelodakan bagi mengelakkan insiden tanah runtuh, banjir lumpur dan pencemaran sungai. - Bernama

Artikel Berkaitan: