Empat pengarah MGSB didakwa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - MGSB Berhad bersama empat pengarahnya dijatuhkan hukuman denda berjumlah RM881 juta serta penjara selepas mengaku bersalah terhadap kesalahan mengambil wang daripada pendeposit tanpa lesen sah dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan semalam berkata, kesemua terlibat dibicarakan di bawah seksyen 137 (1) FSA dan seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen Kajang kelmarin.

"Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman tersebut terhadap MGSB Berhad serta Hisyamuddin Che Ali, Ahmad Zalimi Mohd Ali, Halimatun Saadiah Che Omar dan Nur Ain Aliana Mat Azmi.

"Bagi pertuduhan di bawah seksyen 137(1) FSA, MGSB Berhad didenda RM5 juta, sementara Hisyamuddin dan Ahmad Zalimi masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM1 juta (enam bulan penjara jika gagal membayar denda) dan Halimatun Saadiah dihukum penjara selama satu tahun dan denda RM1 juta (enam bulan penjara jika gagal membayar denda).

"Bagi pertuduhan di bawah seksyen 4(1) AMLA pula, MGSB Berhad didenda sebanyak RM288 juta, sementara Ahmad Zalimi, Halimatun Saadiah dan Nur Ain Aliana masing-masing dihukum penjara dua tahun bagi setiap tiga pertuduhan dan denda sebanyak RM288 juta atau satu tahun penjara jika gagal membayar denda," kata kenyataan itu lagi.

Menerusi kenyataan itu lagi, Hisyamuddin turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi setiap lima pertuduhan dan denda sebanyak RM298 juta atau satu tahun penjara jika gagal membayar denda.

Kesalahan di bawah FSA dan AMLA akan dijalankan secara berasingan.

Dalam pada itu, BNM mengingatkan orang ramai agar tidak menyimpan wang atau deposit dengan institusi yang tidak berlesen atau terlibat dengan sebarang bentuk skim cepat kaya bagi mengelakkan kehilangan wang mereka.

Artikel Berkaitan:

"Senarai institusi yang dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia untuk menerima deposit boleh didapati di laman sesawang www.bnm.gov.my.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berhubung dengan skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh BNM di Laman Sesawang Amaran Penipuan Kewangan (http://fraudalert.bnm.gov.my).

"Pertanyaan lanjut hubungi 1-300-88-5465 atau email kepada bnmtelelink@bnm.gov.my," kata kenyataan itu.