Menteri PH sudah beri khidmat terbaik: Anwar

Anwar ketika program Ziarah Kebajikan sekitar Teluk Kemang hari ini.
Anwar ketika program Ziarah Kebajikan sekitar Teluk Kemang hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua menteri mewakili parti itu telah melakukan perkhidmatan terbaik sepanjang berada dalam Kabinet.

Menurutnya, kesemua mereka diharap terus melaksanakan peningkatan terutama berkaitan isu-isu penting dalam portfolio ditugaskan dan serta memberi fokus kepada aspek ekonomi.

"Mereka (menteri) harus sentiasa meningkatkan keupayaan dan terus memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan berkaitan kementerian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas cadangan pertukaran portfolio serta pandangannya mengenai prestasi semasa menteri yang mewakili PKR di Kabinet setakat ini.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui ada berbincang dengan barisan menteri mengenai perubahan portfolio dalam kalangan anggotanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan Ziarah Kebajikan di tiga rumah sekitar Teluk Kemang dan merasmikan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Dataran Teluk Kemang hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menafikan tuduhan beliau sengaja tidak hadir pada mesyuarat pemimpin kanan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) bersama Dr Mahathir.

Beliau menegaskan, mesyuarat itu bukanlah majlis rasmi parti melibatkan perjumpaan PH, sebaliknya perjumpaan dengan menteri-menteri.

Artikel Berkaitan:

"Tun panggil betul-betul jemaah menteri dan itulah sebab mereka diundang. Tiada masalah.

"Ada satu dua orang (mempertikaikan), itu biasalah," katanya.

Rabu lalu pemimpin PH, Datuk Khairuddin Abu Hassan dalam laman Facebook beliau menuduh Anwar sengaja tidak hadir satu mesyuarat bersama Perdana Menteri.

Bagaimanapun PKR dalam satu kenyataan menjelaskan jemputan Perdana Menteri diberikan kepada pimpinan PH yang mula-mula terbabit dalam pembentukan Kabinet pada Mei 2018 dan pertemuan itu adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara-perkara portfolio dan kementerian.