Banduan lolos kembali ke penjara

Lebih 200 banduan di bandar Sorong yang melarikan diri ketika penjara mereka dibakar penunjuk perasaan dilaporkan kembali secara sukarela. - Foto AFP
Lebih 200 banduan di bandar Sorong yang melarikan diri ketika penjara mereka dibakar penunjuk perasaan dilaporkan kembali secara sukarela. - Foto AFP
A
A
A

SORONG - Lebih 270 banduan yang meloloskan diri dari sebuah penjara yang dibakar ketika rusuhan ganas di wilayah Papua beberapa hari lalu dilaporkan kembali secara sukarela bagi menamatkan hukuman, kata seorang pegawai penjara hari ini.

Menurut pegawai berkenaan, banduan turut membantu membina sebuah pejabat sementara selepas sebahagian bangunan penjara di bandar Sorong itu terbakar.

Isnin lalu, kira-kira separuh dari 500 banduan penjara berkenaan meloloskan diri ketika penunjuk perasaan bertindak membakar premis terbabit dan beberapa bangunan lain.

"Namun banduan bukan melarikan diri sebaliknya mereka mahu menyelamatkan diri daripada kebakaran itu.

"Mereka turut bimbangkan keluarga masing-masing, malah pembunuh yang disabitkan juga telah kembali secara sukarela," kata jurucakap penjara, Elly Yuzar.

Ditanya mengapa banduan terbabit pulang ke penjara, Yuzar menjawab, pihaknya sering melayan banduan dengan baik dan mereka tahu melarikan diri hanya akan memburukkan lagi keadaan.

"Saya amat menghargai kesanggupan mereka kembali ke penjara," kata Yuzar.

Terdahulu, rusuhan tercetus di wilayah Papua berikutan penangkapan mahasiswa Papua di Surabaya yang dituduh merosakkan bendera Indonesia pada Hari Kemerdekaan ke-74 republik itu pada 17 Ogos lalu. - AFP

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 250 banduan lolos dari penjara di Papua