Sebelas polis di Melaka ditahan positif dadah

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Sebelas anggota polis di Melaka termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas gagal dalam ujian saringan air kencing menerusi Ops Blue Devil yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak 13 Ogos lalu.

Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Asisten Komisioner Salim Youb berkata, sehingga kini, 68 pemeriksaan dan saringan dilakukan, dan kesemua anggota yang ditahan itu berusia antara 20 tahun dan 50-an.

"Seorang daripadanya merupakan anggota Polis Marin dan dia ditahan kerana memiliki dadah jenis meth (methamphetamine)," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Melaka, di IPK Melaka di sini hari ini.

Majlis penyerahan tugas antara Salim yang memangku jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka dan Timbalan Ketua Polis Melaka yang baharu, Datuk Sharul Lailli Masduki itu disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Azmi Abu Kassim.

Sharul yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (D8) Bahagian Siasatan Khas di Bukit Aman menggantikan tempat SAC Kamaluddin Kassim yang bersara sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka.

Sementara itu Azmi berkata, Ops Blue Devil dilakukan menerusi saringan maklumat dan maklum balas yang diterima daripada pegawai pemerintah di setiap kontinjen bagi memastikan anggota dan pegawai lebih berintegriti di samping meningkatkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya bilangan yang dikenal pasti atau sasaran pemeriksaan anggota hanyalah melibatkan kira-kira 0.03 peratus daripada jumlah kekuatan organisasi pihak berkuasa berkenaan yang berjumlah kira-kira 120,000 orang di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu bukan semua mereka dikesan positif dadah, namun operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mempunyai integriti yang tinggi dan bersih dari penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya didapati bersalah mereka juga akan dikenakan tindakan undang-undang seperti orang awam yang lain dan tiada pengeculian," katanya. - Bernama