'Terduduk, tak sedarkan diri di ruang tamu'

Mangsa ditemui terduduk di ruang tamu sebelum dikejarkan ke hospital. FOTO: Bomba Johor
Mangsa ditemui terduduk di ruang tamu sebelum dikejarkan ke hospital. FOTO: Bomba Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bomba menyelamatkan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri selepas rumahnya di Taman Setia Indah terbakar pagi tadi.

Lelaki berusia 55 tahun itu ditemukan terduduk di ruang tamu rumah tersebut dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan.

Pegawai Operasi Balai Bomba Tebrau, Pegawai Bomba Noor Ikhson Shukor berkata, panggilan kecemasan diterima jam 10.16 pagi.

"Terdapat seorang mangsa yang dijumpai dalam keadaan terduduk tidak sedarkan diri. Empat anggota mendapati mangsa masih lagi bernadi.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dengan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kebakaran sebuah rumah jenis kekal satu tingkat pada bahagian dapur dan sebuah bilik mengakibatkan kemusnahan 35 peratus daripada keseluruhan bangunan.

"Tindakan operasi menggunakan satu aliran salur bantu mula air tangki jentera yang mengambil masa 25 minit untuk pemadaman," katanya.

Katanya, punca serta kerugian masih dalam siasatan dan operasi tamat jam 11.37 pagi.

Artikel Berkaitan:

Operasi melibatkan 12 anggota dan tiga jentera dengan bantuan daripada Balai Bomba Johor Jaya.