Gapena desak nama Hari Sukan Negara 2019 dikekalkan

ZAINAL ABIDIN
ZAINAL ABIDIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) mendesak agar Kementerian Belia dan Sukan membatalkan hasrat membuat penjenamaan semula Hari Sukan 2019 Negara kepada Malaysia Sports Challenge (MySC) 2019.

Ketua Satu Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, tindakan penjenamaan semula itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

"Perkara 152 (1) memaktubkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Persekutuan. Perkara 152 (6) memaktubkan bahawa maksud rasmi ialah kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

"Berdasarkan Perkara 160 Tafsiran menjelaskan lagi bahawa pihak berkuasa awam, meliputi Yang Di Pertuan Agong, kerajaan Persekutuan, raja dan sultan di negeri, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan majlis daerah, mahkamah, perbadanan dan agensi kerajaan serta sebagainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Zainal, sebarang acara rasmi kementerian dan seluruh jajaran agensi di bawah setiap kementerian kerajaan Persekutuan termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam wajib menggunakan dan mendahulukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan.

"Kementerian Belia dan Sukan tidak menghormati Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang Persekutuan seperti mana terpahat dalam Rukun Negara.

"Adalah menjadi tugas kementerian dan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta semua pihak berkuasa awam berusaha mempertingkatkan prestij bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

Justeru beliau sekali lagi mendesak agar nama acara Hari Sukan Negara dikekalkan.

Artikel Berkaitan:

"Gapena mendesak hentikan segala tindakan yang mengaibkan ini lantaran negara sudah 62 tahun merdeka.

"Menyambung pemikiran kolonial seperti tindakan ini ialah tanda bahawa ada warganegara yang masih tidak berjiwa merdeka," katanya.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong ketika mengumumkan pertukaran nama program itu berkata penggunaan MySC tidak merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Sebaliknya, beliau mendakwa penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu mampu meningkatkan lagi prestij program berkenaan.