Teksi air ganti feri di Pulau Pinang

Anthony Loke (kanan) bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) menggunakan Pas Mutiara di salah sebuah bas Rapid Penang tadi.
Anthony Loke (kanan) bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) menggunakan Pas Mutiara di salah sebuah bas Rapid Penang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Bhd akan memperkenalkan teksi air di negeri ini sebagai tarikan baharu selain menggantikan sebahagian perkhidmatan feri di Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan pelaksanaan teksi air atau Catamaran Boat itu dijangka akan dilaksanakan tahun hadapan.

Menurutnya, walaupun teksi air akan diperkenalkan, perkhidmatan feri sedia ada akan dikekalkan berikutan ia mempunyai nilai sentimental bagi negeri ini.

"Berikutan persoalan yang diutarakan oleh beberapa pihak mengenai peruntukan RM90 juta untuk menaik taraf kemudahan perkhidmatan Feri Pulau Pinang, ia sebenarnya belum dilaksanakan lagi kerana Prasarana perlu menyelesaikan beberapa isu perundangan dengan pengendali lama.

"Bagaimanapun, baru-baru ini selepas mesyuarat diadakan, kita akan teruskan perancangan menaik taraf itu dengan memperkenalkan teksi air dengan dana yang dicari oleh Prasarana sendiri. Feri sedia ada akan dikekalkan dan dijadikan sebagai feri pelancong.

"Mungkin sebuah atau dua buah feri akan dikekalkan untuk membawa kenderaan dan yang lain akan hanya membawa penumpang sahaja. Hala tuju belum diputuskan lagi, tapi saya memang minta Prasarana teruskan perancangan mereka. Tahun ini tidak sempat, mungkin tahun hadapan," katanya pada sidang media tadi.

Terdahulu, Anthony Loke melancarkan Pas Mutiara untuk perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan bas Rapid Penang dan Feri Pulau Pinang di Pengkalan Weld di sini.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata, pas tersebut akan mula dilaksanakan pada 1 September ini yang mana ia telah dijual sejak Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pas itu akan memberikan penjimatan berbaloi kepada pengguna pengangkutan awam di bahagian pulau dan kawasan seberang.

"Konsepnya sama untuk pakej MY50 yang mana pengguna boleh menggunakan perkhidmatan bas Rapid Penang dan Feri Pulau Pinang berulang kali dalam sehari tanpa had untuk tempoh 30 hari berturut-turut dengan hanya RM50.

"Ini adalah fasa kedua selepas pas ini dilaksanakan di Lembah Klang pada Januari lalu. Di Lembah Klang, terdapat 110,000 pengguna pas ini dan kita sasarkan pengguna Pas Mutiara seramai 200,000 orang," katanya.

Anthony berkata, Pas Mutiara boleh didapatkan di lapan kiosk Rapid Penang antaranya Ibu pejabat Rapid Penang di Jalan Perak, Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dan Terminal Bas Komtar.

Rapid Penang kini beroperasi menggunakan 404 buah bas melibatkan 71 laluan dengan 1.6 juta penumpang setahun iaitu jumlah purata penumpang harian melebihi 75,000 sehari.

Sementara itu, Rapid Ferry yang beroperasi dengan enam buah feri mencatatkan 865,559 penumpang dan 762,498 kenderaan setahun.

Rapid Ferry mempunyai purata penumpang harian sebanyak 3,696 penumpang; 1,198 kereta, 1,855 motosikal dan 59 kenderaan daripada jenis lain.