'Ahli politik punca ancaman perpaduan kaum'

Tan Sri Musa Hassan ketika bercakap pada program Bicara Minda yang berlangsung di Dewan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Tan Sri Musa Hassan ketika bercakap pada program Bicara Minda yang berlangsung di Dewan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ancaman perpaduan kaum yang wujud di negara ini bermula daripada sikap ahli politik sendiri, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau menyifatkan terdapat suara ahli politik yang menyebabkan timbul perbalahan antara masyarakat.

"Banyak 'hate speech' yang telah diwujudkan di mana apabila orang-orang politik ini mahu dapat sokongan daripada sesuatu kaum, dia akan berikan ucapan-ucapan yang boleh menyakitkan hati orang, menyakitkan hati kaum lain.

"Jadi ia bermula daripada situ. Oleh kerana itu ahli politik sendiri perlu tahu cara bagaimana nak mewujudkan perpaduan dalam negara ini. Jangan hanya fikirkan untuk dapat sokongan.

"Saya cakap terus terang. Kalau orang politik nak marah saya, marah lah kerana bagi saya kalau tengok apa ura-ura pun, timbul daripada mereka selepas itu barulah macam-macam berlaku,” katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian di Auditorium Karangkraf di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'ISA tak patut dimansuhkan'

Beliau berkata, disebabkan itu juga ramai ahli politik yang menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini kerana menggugat keharmonian dalam negara.

Katanya, ISA adalah untuk mencegah orang daripada melakukan sesuatu kegiatan yang boleh merosakan keamana, ketenteraman dan keselamatana negara.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan orang politik ini dia bercakap lebih. Apabila dia bercakap dia yang merosakkan keamanan dan keselamatan negara. Ini masalah dia tapi dia tak sedar. Selalu saya beritahu supaya kita jangan cabar, naikkan semangat anti mana-mana kaum. Tapi yang banyak bercakap ini orang politik sendiri. Ini masalahnya," katanya.

Justeru ujarnya, pihak polis perlu tegas dan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang memainkan perkara menggugat keamanan.

"Polis ada kemampuan. Perlu ambil tindakan dengan tegas tak kira siapa. Menteri ke orang biasa kalau mereka buat, tindakan perlu diambil. Jika tidak mereka akan fikir polis lemah, takut, dan tunggu arahan daripada atas," katanya.