Peniaga hilang kereta hampir ditipu

Rosman menunjukkan laporan polis kehilangan kereta di sebuah tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Bukit Indah, Ahad lalu.
Rosman menunjukkan laporan polis kehilangan kereta di sebuah tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Bukit Indah, Ahad lalu.
A
A
A

PONTIAN - Seorang peniaga hampir ditipu melalui panggilan telefon dan mesej WhatsApp yang memintanya memberikan RM800 selepas kereta Perodua Myvi miliknya hilang dipercayai dicuri di sebuah pasar raya dekat Bukit Indah, Ahad lalu.

Rosman Tahir, 51, berkata, panggilan dan mesej WhatsApp yang diterima sekitar jam 2 pagi menyatakan Perodua Myvi miliknya berada di bengkel.

"Perbualan dan mesej WhatsApp itu berlarutan sehingga jam 8 pagi. Suara 'scammer' itu suara lelaki memberitahu untuk keluarkan kereta dari bengkel, saya perlu bayar RM300.

"Nombor akaun diberikan kepada saya minta saya segera masukkan duit ketika itu.

"Kemudian selepas bayar, 'scammer' akan beritahu lokasi kereta dan minta saya buat baki bayaran RM500," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Rosman bagaimanapun menjelaskan dia tidak terpedaya dengan penipuan terbabit sebaliknya meminta agar diberikan gambar kereta miliknya yang didakwa berada di bengkel itu.

"Bila minta gambar kereta, dia tidak bagi. Dari situ saya tahu dia cuba menipu saya.

"Selepas itu, dia tidak lagi mesej atau telefon selepas diberikan amaran," katanya yang tinggal di Kampung Rimba Terjun.

Rosman kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain untuk mendapatkan keuntungan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia masih lagi terkejut dengan kehilangan kereta Perodua Myvi miliknya ketika sedang berada di pasar raya berkenaan bersama anak dan isterinya.

"Saya sampai jam 6.38 petang. Keluar pada jam 9.45 petang. Ingatkan kereta salah letak, satu pasar raya pusing, sudahnya kereta hilang.

"Saya terus buat laporan polis dan minta pihak pengurusan pasar raya bantu dapatkan rakaman kamera litar tertutup, namun tiada rakaman kamera litar tertutup kerana kamera terbabit tidak berfungsi," katanya.

Katanya, dia turut berkongsi kisah kehilangan keretanya itu di laman sosial dan merayu orang ramai yang terjumpa keretanya segera menghubunginya.