Ayam goreng berulat di kedai mamak

I Love Sungai Besar memuat naik hantaran berhubung penemuan ulat dalam ayam goreng di sebuah restoran di daerah ini.
I Love Sungai Besar memuat naik hantaran berhubung penemuan ulat dalam ayam goreng di sebuah restoran di daerah ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang wanita terkilan selepas menemui ulat dalam hidangannya ketika menjamu selera di sebuah restoran mamak di daerah ini, malam tadi.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Chris, 30, berkata, dia menjamah makanan di restoran itu bersama suami dan dua lagi rakannya pada jam 11 malam sebelum mendapati terdapat ulat di bahagian tulang ayam goreng.

Menurutnya, kejadian disedari sebaik dia yang berkongsi ayam goreng bersama suaminya selesai menjamah lauk berkenaan.

"Ketika kami bersembang, tiba-tiba tekak saya loya selepas ternampak banyak ulat hidup keluar dari tulang ayam yang baru dijamah," katanya.

Chris berkata, dia kemudiannya memanggil pengurus restoran, namun jawapan diterima tidak memuaskan hati.

"Pengurus mengarahkan pelayan restoran simpan semula ayam dan apabila saya memanggilnya ke meja kami, dia (pengurus) seolah menyalahkan saya kerana memilih ayam berulat," katanya.

Menurutnya, tindakan pengurus restoran itu amat dikesali kerana tidak mahu mengakui kesilapan menghidangkan ayam berulat kepada pelanggan.

Katanya, sejurus pulang ke rumah, dia mula mengalami cirit-birit dan terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta, pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

"Saya disahkan mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada makanan tercemar," katanya.

Katanya, pihak berwajib diminta melakukan pemeriksaan dan pemantauan di restoran berkenaan.

"Saya sendiri telah menghantar surat aduan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam dan memohon tindakan lanjut," katanya.

Sebelum ini Chris yang menggunakan akaun nama Facebook, CrissWen JJ memuat naik hantaran berhubung perkara berkenaan.

Kejadian itu tular selepas pemilik akaun 'I Love Sungai Besar' memuat naik hantaran dan gambar daripada CrissWen JJ.

Sehingga jam 2 petang tadi, hantaran dimuat naik I Love Sungai Besar itu mendapat reaksi pelbagai tanda, 689 komen dan sebanyak 276 perkongsian.