1MDB: Wang lebih RM1.2 juta dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Wang lebih RM1.2 juta yang dibekukan daripada akaun bank milik tiga entiti termasuk Yayasan Rahah berhubung penyiasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini menjadi harta Kerajaan Malaysia.

Tiga entiti itu ialah Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ibrahim Awang Ismail; Naza Quest Auto Sdn Bhd dan Yayasan Rahah.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM839,489.82 daripada Yayasan Rahah; daripada Ibrahim berjumlah RM100,000 manakala Naza Quest Auto sebanyak RM269,662.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa ketiga-tiga responden telah bersetuju harta itu dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan dan representasi telah diterima dan saya mencadangkan supaya satu tarikh singkat untuk kes-kes ini memandangkan pihak-pihak responden ingin menyerahkan wang tersebut kepada kerajaan,” katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Peguam Amin Othman yang mewakili Yayasan Rahah dan Ibrahim manakala Md Yunos Sharif bertindak bagi pihak Naza Quest Auto mengesahkan perkara itu.

Mahkamah menetapkan 6 September untuk merekodkan penghakiman persetujuan bagi Yayasan Rahah dan Ibrahim manakala 13 Sept untuk Naza Quest Auto.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan juga menfailkan permohonan pewartaan notis bagi pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam harta yang disita untuk hadir ke mahkamah dan menyatakan tuntutan mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) AMLATFPUAA

Sementara itu, bagi satu lagi responden iaitu UMNO Bahagian Pekan, mahkamah menetapkan 30 Ogos untuk keputusan permohonan responden bagi membatalkan permohonan lucut hak terhadap wang berjumlah RM700,000 yang dibekukan.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sama bagi pihak ketiga yang mahu menuntut wang untuk hadir ke mahkamah bagi menyatakan tuntutan mereka.

Peguam Datuk M Reza Hassan mewakili UMNO Bahagian Pekan berhujah pihaknya membantah notis warta yang difailkan pendakwaan mengikut Seksyen 56(1) AMLATFPUAA.

“Pihak pemohon telah menamakan pihak salah, sepatutnya pemohon (pendakwaan) menamakan pengarah atau individu UMNO Pekan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Maziah Mohaide berkata akaun yang dibekukan itu adalah milik UMNO Bahagian Pekan maka adalah wajar bagi pihaknya menamakan UMNO Bahagian Pekan.

“Tidak wujud pertikaian kerana akaun bank yang didaftarkan adalah di bawah Umno Bahagian Pekan,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama