Noor Aziah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak

Noor Aziah Mohd Awal
Noor Aziah Mohd Awal
A
A
A

PUTRAJAYA - Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang pertama berkuat kuasa 27 April lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan bagi sesi 2019-2022 itu dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] selepas mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Pelantikan ini adalah antara langkah pembaharuan yang diambil kerajaan di dalam melindungi hak kanak-kanak.

“Selain pensyarah, beliau (Noor Aziah) merupakan Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak (2017-2019) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).

“Sebelum ini, beliau juga telah dilantik sebagai Wakil Malaysia dalam ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (2016-2019) dan pernah menjadi pengerusi bagi Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (Muslim Women Consulatative Council 2013-2019),” kata kenyataan itu hari ini.

Selain itu, Noor Aziah juga mempunyai lebih 23 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia terutamanya berkaitan hak wanita dan kanak-kanak melalui aspek perundangan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk melantik seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak berbanding cadangan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kanak-Kanak bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan perlindungan golongan itu.

Menurut beliau, pesuruhjaya yang akan dilantik itu sekurang-kurangnya berupaya meneliti gambaran menyeluruh pelaksanaan hak kanak-kanak di Malaysia.

Artikel Berkaitan: