'Pembangkang tak tahu selok-belok pentadbiran kerajaan negeri'

Borhan, Rizam
Borhan, Rizam
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah penjajaran semula Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dikritik pembangkang membuktikan mereka tidak mengetahui selok-belok pentadbiran negeri ini meskipun perkara itu sudah dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2019, November tahun lalu.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi perhatian melaksanakan dasar atas prinsip kerajaan bertanggungjawab.

"Tanggungjawab ini lahir daripada misi untuk mengurus kewangan yang mampan dan pada masa sama meneruskan kelestarian program peduli rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Borhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat menegaskan, prinsip tanggungjawab itu jelas melalui penjajaran semula IPR bagi memastikan pihak yang memerlukan mendapat manfaat.

"Hala-tuju ekonomi Selangor jelas di bawah kepimpinan menteri besar memberi tumpuan terhadap dasar klusterisasi bertujuan mencipta spillover effect (kesan limpahan) kepada pembangunan ekonomi adalah dilihat sebagai blueprint (pelan induk) ekonomi negeri berwawasan," katanya.

Selain itu, katanya, dasar pentadbiran bertanggungjawab membuahkan hasil apabila kutipan hasil kerajaan negeri mencapai kutipan sekitar 70 peratus pada Ogos 2019.

Menurutnya, kejayaan itu hasil sinergi antara penjawat awam dan pentadbiran negeri yang berjaya.

"Pendekatan pentadbiran kali ini tertumpu kepada pemberdayaan berbanding pemberian semata.

Artikel Berkaitan:

"Selain meneruskan dasar-dasar pro-rakyat, kerajaan turut memberi keutamaan kepada perkembangan pertumbuhan ekonomi dan bukan semata-mata kebajikan," katanya.

Justeru tegas beliau, semua peruntukan sedia ada disusun semula agar penumpuan diberikan kepada membantu mereka yang amat memerlukan.

"Itu pun setelah diteliti semula dari segi keberkesanan, jumlah orang yang terkesan serta penjimatan yang mampu dilakukan dengan adil, yakni dalam erti memberikan hak kepada yang berhak," katanya.

Beliau berkata, penjajaran IPR yang dilakukan kerajaan negeri bukan memotong peruntukan sebaliknya jumlah yang sama dijajarkan semula bagi menepati golongan sasaran.

"Langkah ini sekali gus memastikan hasil negeri yang lebih mampan agar setiap program IPR yang sedia ada dapat dipakejkan semula dengan tekad baharu lebih efisien dapat dilaksanakan," katanya.

Justeru tegas beliau, kerajaan negeri mengulangi tekad dan hasrat meneruskan IPR yang selama ini memperuntukkan RM3.2 bilion bagi manfaat rakyat.

"Ini adalah bukti kepedulian rakyat dan pemulangan hasil negeri kepada rakyat.

"Prinsip ini akan kekal menjadi agenda pentadbiran ini," katanya.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Rizam Ismail berkata, kenyataan Borhan mempertahankan penjajaran IPR disifatkan hanya menegakkan benang yang basah.

Rizam berkata, Borhan cuba menggambarkan kerajaan Selangor sebuah kerajaan bertanggungjawab, manakala penjajaran semula pelbagai insentif kerajaan negeri bukanlah bersifat pemotongan sebaliknya disusun semula dengan tumpuan kononnya dialih kepada proses pemberdayaan rakyat.

"Suka saya ingatkan tentang bagaimana cadangan awal penstrukturan semula pemberian air percuma yang sebelum ini diberikan kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang diterhadkan kepada hanya golongan B40.

"Malah kelayakan air percuma terhad kepada mereka yang berdaftar dan mempunyai profil data dalam senarai e-Kasih," katanya.

Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar berkata, selain itu, pemberian wang tunai RM1,500 kepada semua anak kelahiran Selangor menerusi Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) juga telah dikecilkan skopnya terhad kepada remaja berusia 18 tahun yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sahaja.

"Menteri Besar dalam Belanjawan 2019 telah berjanji akan berbincang dengan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk meneruskan program ADAM50 yang sebelum ini dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan, tetapi sehingga kini langsung tiada berita tentang perkara ini.

"Beliau (Borhan) juga janganlah buat-buat lupa bagaimana Insentif Perkahwinan Belia berjumlah RM500 telah ditarik balik dan digantikan dengan kursus asas perkahwinan yang sehingga kini masih tidak diketahui sejauh mana keberkesanannya," katanya.

Mengulas lanjut, Rizam berkata, Skim Mesra Usia Emas yang sebelum ini memperuntukkan wang khairat kematian sejumlah RM2,500 juga telah dikurangkan kepada baucar beli belah RM100 setahun iaitu hanya 27 sen sehari.

"Saya sarankan Borhan menonton semula rakaman sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu iaitu ketika menteri besar memohon peruntukan tambahan disebabkan kegagalan beliau membuat perancangan rapi tentang belanjawan negeri.

"Malah, ramai dalam kalangan ADUN dari parti Borhan membangkitkan tentang perkara-perkara berkenaan. Beliau boleh terus bermain silat lidah untuk mempertahankan menteri besar, tetapi janganlah sehingga menafikan realiti sebenar berlaku," katanya.