Penunjuk perasaan HK terus sasar lapangan terbang

Penunjuk perasaan menghalang laluan ke balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 13 Ogos lalu. - Foto: REUTERS
A
A

HONG KONG - Penunjuk perasaan di Hong Kong sekali lagi menyasarkan operasi lapangan terbang dalam usaha meneruskan demonstrasi.

"Pergi ke lapangan terbang menaiki pelbagai pengangkutan termasuk MTR, bas, teksi, basikal dan kereta bagi memberi tekanan kepada lapangan terbang," tulis penunjuk perasaan di atas talian.

Menurut poster yang tersebar di media sosial, tujuan protes yang dijadual diadakan esok adalah untuk meningkatkan kesesakan lalu lintas, menghalang penumpang menaiki pesawat tepat pada masa dan menyebabkan penangguhan atau pembatalan penerbangan.

Pihak berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong berkata, pihaknya amat bimbang dengan rancangan penunjuk perasaan termasuk menyekat laluan menuju ke lapangan terbang.

"Pihak kami akan berhubung rapat dengan pasukan keselamatan lapangan terbang, polis, operator pengangkutan dan rakan perniagaan. Langkah kontingensi akan diambil sekiranya perlu," kata jurucakap lapangan terbang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong menjadi sasaran penunjuk perasaan yang membuat kacau di premis berkenaan minggu lalu.

Susulan insiden terbabit, pihak lapangan terbang mendapatkan injuksi interim bagi menghalang penunjuk perasaan mengganggu operasinya.

Pihak berkuasa lapangan terbang turut memberi amaran, penunjuk perasaan yang melanggar arahan tersebut dan secara sengaja menghalang jalan menuju ke lapangan terbang akan didakwa menghina mahkamah dan berdepan hukuman penjara atau denda. - Agensi