Jangan buang masa perkara tidak berfaedah: Pemuda Amanah

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara hanya boleh dicapai dengan penyatuan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Sehubungan itu, rakyat khususnya golongan muda digesa memberikan sepenuh tumpuan dan sama-sama berusaha bagi memperkukuhkan lagi ekonomi negara daripada membuang masa dengan perkara-perkara tidak berfaedah serta boleh mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, isu-isu sensitif seperti agama dan kaum tidak sewajarnya dibangkitkan kerana ia hanya akan memberikan kesan negatif kepada usaha kerajaan untuk membangunkan lagi negara.

“Rakyat Malaysia terutama anak muda diharapkan dapat memberikan tumpuan dan menggembleng tenaga ke arah memperkukuhkan ekonomi negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan makmur.

“Usah membazirkan masa dan tenaga dalam isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan boleh mencetuskan perbalahan antara rakyat berbilang kaum dan agama.

“Hak setiap kaum sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan haruslah dihormati. Setiap rakyat negara ini berhak dilayan secara adil tanpa mengira latar belakang agama dan kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah meningkat sebanyak 4.9 peratus pada 2019, iaitu melebihi kadar 4.5 peratus pada suku pertama 2019 dan suku kedua 2018.

Pertumbuhan itu telah disokong oleh prestasi baik semua sektor ekonomi, perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi dan peningkatan kadar pertumbuhan pelaburan swasta.

Artikel Berkaitan:

“Melihat akan perkembangan positif ekonomi negara ketika ini, saya berharap agar seluruh rakyat akan sama-sama berusaha untuk memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara demi kemakmuran bersama,” katanya.