KLIA masih alami gangguan sistem pagi ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEPANG - Gangguan sistem, yang antara lain mengakibatkan kelewatan penerbangan, masih berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, pasukan mereka masih berusaha untuk menstabilkan sistem itu pada jam 6 pagi ini.

Para penumpang dinasihati supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pesawat mereka berlepas.

Gangguan hubungan itu, yang bermula sejak Rabu malam, menjejaskan sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

MAHB berkata, dalam mengurangkan masalah itu, kesemua 38 tapak pesawat tanpa pintu di terminal utama KLIA digunakan untuk memenuhi keperluan kapal terbang yang tidak dapat bergerak menuju ke pintu yang dijadualkan kerana masih digunakan.

Mereka turut menyediakan empat bas tambahan, di samping perkhidmatan pengendalian daratan bagi syarikat penerbangan untuk melancarkan pergerakan penumpang dengan membawa mereka ke tapak pesawat tanpa pintu dari terminal dan sebaliknya.

"Kami turut melanjutkan waktu operasi di semua lapangan terbang lain di seluruh negara pada malam tadi untuk memenuhi keperluan penerbangan keluar dari Kuala Lumpur yang mengalami kelewatan,” jelas kenyataan itu.

Setakat jam 10 malam tadi, sebanyak 68 kelewatan penerbangan telah dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

MAHB berkata, mereka turut menyediakan tempat letak kenderaan percuma bagi semua penumpang yang meletak kenderaan mereka di terminal utama KLIA (Blok A, B, C dan D) sehingga 6 pagi Jumaat (23/8) kerana ramai yang menghadapi kelewatan ketibaan penerbangan.

"Kami amat dukacita dengan kesulitan yang dihadapi semua penumpang," kata MAHB. - Bernama