Tak bayar zakat punca bertambah kemiskinan

Syeikh Zakaria ketika ditemu bual dalam program Sinar Live di pejabatnya di Menara Zakat, Alor Setar.
Syeikh Zakaria ketika ditemu bual dalam program Sinar Live di pejabatnya di Menara Zakat, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Dunia tanpa sempadan menyebabkan pelbagai isu dibangkitkan oleh masyarakat termasuklah berkaitan kehidupan segelintir rakyat yang masih dibelenggu kemiskinan.

Kisah-kisah mereka yang memerlukan bantuan banyak dipaparkan di laman sosial dan pastinya agensi bantuan seperti Lembaga Zakat menjadi sasaran.

Demi memastikan tugas mereka tidak disalah tafsir oleh orang ramai, Ketua Pegawai Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman tampil menjelaskan isu-isu yang melibatkan zakat di Kedah.

Ikuti temu bual beliau bersama wartawan Sinar Harian, Roshila Murni Rosli dan jurukamera Wan Hafiz Wan Mansor di pejabatnya di Menara Zakat, Alor Setar.

Mengikut sejarah, zakat di negeri Kedah telah wujud sejak 350 tahun yang lalu, boleh tuan terangkan dengan lebih lanjut tentang sejarah ini?

Sesiapa sahaja yang membuat kajian akan mendapati perundangan zakat tertua di Malaysia bermula di negeri Kedah. Mengikut sejarah, perundangan zakat di negeri Kedah ini bermula pada 1667 Masihi iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Kedah ke-15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah 1.

Pada masa itu sudah ada perundangan berzakat yang ditulis bersama perundangan-perundangan dalam undang-undang Tembera Dato' Paduka Tuan.

Di dalam itu tertulis bahawa mereka yang mengerjakan bendang perlu keluarkan zakat yang dikutip oleh kweng (penghulu). Juga disebut dalam undang-undang itu siapa yang tidak membayar zakat akan ditangkap dan dipenjara.

Artikel Berkaitan:

Jika zaman dahulu mereka yang tidak membayar zakat dikenakan tindakan tegas sehingga ada yang dipenjara, bagaimana pula dengan situasi pada zaman kini?

Di Kedah ini kita lebih mengambil pendekatan memberikan penjelasan, dakwah dan penerangan iaitu lebih kepada mendidik. Ini kerana kebanyakan orang Islam hanya faham ia kewajipan nombor tiga sahaja dan dari kecil lagi kita sudah didendangkan bahawa sesiapa yang berpuasa perlu membayar zakat fitrah.

Tetapi tidak ramai yang ambil berat tentang zakat harta. Apabila sudah bekerja lima hingga 10 tahun baru tahu yang zakat harta perlu ditunaikan. Jadi apa yang saya dapat katakan, ada banyak lagi ruang tentang zakat ini yang kita perlu beri kefahaman dan pencerahan kepada orang ramai.

Adakalanya LZNK menjadi sasaran masyarakat yang tidak faham mengenai agihan bantuan zakat. Boleh tuan terangkan serba sedikit mengenai proses permohonan?

Pertamanya mengenai tanggapan masyarakat. Apabila mereka melihat ada kisah orang susah yang ditularkan di media sosial, perkara pertama yang mereka akan tanya adalah, zakat (LZNK) pi mana? Sebenarnya dalam situasi ini dengan adanya orang miskin macam ini, mesti ada lagi orang yang tidak membayar zakat. Ini kerana LZNK hanya sebuah institusi yang beri bantuan melalui bayaran zakat orang ramai.

Keduanya mengenai permohonan. Sejak 2018 untuk memohon bantuan daripada LZNK, mereka hanya perlu ke masjid untuk mendapatkan borang daripada wakil LZNK. Dengan cara ini, proses lebih cepat dan maklumat lebih telus.

Syeikh Zakaria menunjukkan buku keluaran LZNK mengenai sejarah perundangan LZNK yang berusia 350 tahun.
Syeikh Zakaria menunjukkan buku keluaran LZNK mengenai sejarah perundangan LZNK yang berusia 350 tahun.

Hampir setiap hari ada kisah masyarakat yang berdepan kemiskinan, sejauh manakah LZNK dapat membantu?

Orang miskin ini akan ada selagi mana adanya orang kaya. Ini adalah Sunnatullah. Sebab itu orang kaya ini perlu mengeluarkan zakat dari harta mereka dan zakat itu kepada siapa lagi, kalau bukan kepada orang miskin.

ALLAH telah wajibkan zakat kepada orang kaya bagi membantu orang miskin. Apabila masih ada orang miskin yang tidak terbela, itu bermakna pasti di sana masih ada orang kaya yang tidak mahu mengeluarkan zakat.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam At-Tabrani, Rasulullah SAW ada bersabda mafhumnya:

“Sesungguhnya ALLAH telah mewajibkan kepada orang Islam yang kaya supaya mengeluarkan harta-harta mereka kepada orang miskin dengan kadar yang dapat melapangkan kesusahan mereka.

Pasti tidak akan ada orang miskin yang bersusah atau lapar dan bertelanjangan, melainkan hanya kerana adanya orang kaya yang tidak menunaikan haknya. (Dan) Ingatlah bahawa ALLAH akan menghisab mereka dengan hisab yang bersangatan dan menyeksa mereka dengan azab yang pedih.”

Ironinya adalah relatif, jika semakin ramai orang kaya tidak menunaikan haknya dalam mengeluarkan zakat, maka sehingga kiamat akan semakin ramailah orang miskin.

Maka bantuan daripada LZNK adalah bergantung sepenuhnya kepada jumlah zakat atau bantuan yang diterima bagi diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Boleh tuan terangkan dengan lebih lanjut mengenai Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin LZNK?

Sebanyak 576 masjid di negeri ini telah diiktiraf sebagai Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin yang dilancarkan sejak tahun lalu.

Bantuan keperluan harian ini merangkumi beras, gula, tepung dan lain-lain kelengkapan yang diberikan kepada keluarga yang layak.

Sebuah institusi zakat luar negara, House of Zakat and Waqf Uganda meluahkan minat untuk mempelajari sistem urus tadbir zakat Kedah. Bagaimana tuan melihat hasrat mereka ini?

Insya-ALLAH jika kita berpeluang untuk berkongsi cara pengurusan zakat kita dengan negara luar, kita sangat mengalu-alukan. Kita berhasrat memulakan perkongsian ini mulai tahun hadapan dengan mana-mana negara yang berminat.

Apakah impian dan harapan tuan kepada LZNK pada masa hadapan?

Saya ingin menjadikan LZNK sebuah agensi urus tadbir agama yang terbaik bertaraf dunia. Apabila orang hendak belajar tentang pengurusan zakat, orang akan datang ke negeri Kedah.