Rumah B40: Satu penyelesaian jangka pendek?

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah dianggap positif, namun dibimbangi ia hanya penyelesaian jangka pendek dan kemungkinan pihak tertentu mengambil kesempatan daripadanya.

Pensyarah kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Fakulti Perniagaan Universiti Putra Malaysia Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana beliau menjangkakan lebih ramai golongan berpendapatan rendah (B40) akan dibebani hutang akibat daripada pinjaman untuk membeli rumah berkenaan.

"Walaupun inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) membolehkan lebih ramai layak memiliki rumah, ia hanya penyelesaian jangka pendek dan tidak menyelesaikan masalah sebenar.

"Sebagai contoh, Malaysia masih kekal sebagai negara di Asia Tenggara yang mana isi rumahnya berhutang paling tinggi, iaitu melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM1 trillion. Malah lebih separuh daripada hutang isi rumah ialah pembiayaan rumah.

"Sepatutnya kerajaan menggalakkan alternatif pembiayaan rumah seperti sewa beli di bawah konsep Musharakah Mutanaqisah, supaya tidak berhutang dalam membeli rumah dan hanya menyewa seperti yang dilakukan oleh negara-negara maju di Eropah," katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Katanya, harga rumah serendah RM300,000 ke bawah belum tentu dapat diperoleh di kawasan bandar kerana kebanyakannya terletak di luar bandar sekali gus tidak strategik untuk didiami.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, beliau bersetuju inisiatif BNM akan memberi manfaat kepada golongan B40, tetapi beliau bimbang pemaju kawasan perumahan akan mengambil kesempatan.

"Rata-rata tahap kemampuan golongan B40 adalah rumah di bawah RM250,000 dan kami takut disebabkan inisiatif ini, pemaju akan banyakkan lagi rumah lebih mahal dan rakyat tidak ada pilihan selain daripada membeli rumah di luar kemampuan mereka dan dibebani hutang yang banyak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, BNM memperluaskan kriteria kelayakan bagi Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion dengan menaikkan kelayakan pendapatan bulanan isi rumah kepada RM4,360 daripada RM2,300 untuk memohon pinjaman.

Selain itu, harga hartanah maksimum ditingkatkan kepada RM300,000 daripada RM150,000, berkuatkuasa 1 September ini.

Inisiatif tambahan tersebut adalah bagi membantu golongan B40 untuk memiliki rumah pertama serta menangani kes-kes permohonan pembiayaan yang ditolak oleh bank.

Dana tersebut, yang mempunyai kadar pembiayaan maksimum pada kadar 3.5 peratus setahun, adalah untuk hartanah dalam pasaran utama sahaja.

Peminjam mesti pekerja bergaji atau bekerja sendiri dan tidak mempunyai mana-mana rekod pembiayaan yang terjejas dalam tempoh 12 bulan. - Bernama