Gojek: Faktor keselamatan perlu diberi perhatian

A
A

KUALA LUMPUR - Faktor keselamatan perlu diberi perhatian dalam cadangan kerajaan untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek di negara ini.

Penganalisis, aktivis masyarakat dan orang awam senada berpendapat, di sebalik aspek membuka ruang pekerjaan dan menambah pendapatan, isu keselamatan dan nyawa penunggang serta pengguna motosikal perlu diberi perhatian serius.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata, faktor keselamatan perlu berikutan kadar kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini setiap tahun adalah tinggi.

"Pada saat kita berusaha mencari jalan mengurangkan kematian penunggang motosikal, Gojek ini pula sudah tentu memancing ramai minat anak muda dan sesiapa sahaja untuk menunggang.

"Mereka yang tidak ada motosikal pun akan beli motosikal, ia secara tidak langsung meningkatkan risiko keselamatan dan nyawa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau turut membandingkan situasi di dua negara iaitu Thailand dan Indonesia yang telah lama melaksanakan Gojek dan menyifatkan kedua-dua negara itu berbeza dengan Malaysia apabila pengangkutan utamanya sememangnya menggunakan motosikal berdasarkan keadaan trafik serta kos sara hidup yang rendah.

Berkongsi pandangan sama, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang juga aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye memohon kerajaan mempertimbang sebaiknya aspek keselamatan dalam pelaksanaan cadangan itu.

"Kalau dari aspek untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan untuk golongan rakyat berpendapatan rendah, ini mungkin ada kelebihan tetapi sebelum ia (Gojek) dilaksanakan, saya harap semua aspek berkaitan keselamatan jalan raya diambil kira. Kita tahu bahawa banyak kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal...perkara ini perlu diteliti," katanya.

Seorang pekerja swasta, Nurul Huda Jaafar, 26, berkata, cadangan untuk mewujudkan Gojek merupakan alternatif bagi menangani masalah kesesakan jalan raya di kawasan bandar terutama pada waktu puncak.

"Gojek boleh dilaksanakan tetapi beberapa aspek perlu diambil kira seperti keselamatan penunggang dan pembonceng, latihan yang mencukupi kepada penunggang serta kemudahan memilih penunggang mengikut jantina. Macam saya, lebih selesa memilih ‘rider’ perempuan yang mahir menunggang," katanya.

Pengusaha kedai serbaneka, Ismail Ramli, 34, pula berkata kerajaan harus memastikan penunggang Gojek diberi latihan yang mencukupi, terdiri daripada individu yang benar-benar layak membawa motosikal serta memiliki motosikal yang mempunyai kondisi baik dan selamat.

Pada Rabu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kabinet telah meluluskan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan Gojek manakala Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof memaklumkan jemaah menteri memutuskan agar kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek didakwa bakal beri banyak kesan negatif

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek tak Islamik: Mufti Selangor

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek bantu anak muda dapat peluang pekerjaan


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia