Pusat Pengajian Ulum Arabiah perlu dana RM2 juta

Mohd Nawawi (tengah) bersama sebahagian guru dan pelajar Pusat Pengajian Ulum Arabiah Kampung Sungai Darak.
Mohd Nawawi (tengah) bersama sebahagian guru dan pelajar Pusat Pengajian Ulum Arabiah Kampung Sungai Darak.
A
A
A

KUALA KETIL - Pusat Pengajian Ulum Arabiah di Kampung Sungai Darak di sini memerlukan dana sebanyak RM2 juta bagi membina masjid, rumah guru, serta rumah dan surau warga emas.

Pengerusinya, Mohd Nawawi Harun berkata, pihaknya menyasarkan dapat menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh lima tahun, bagaimanapun ia bergantung kepada sumbangan diperoleh.

"Sekarang ini kita masih dalam pencarian dana. Kita kini hanya mempunyai 10 pelajar lelaki berusia belasan tahun. Insya-ALLAH jika infrastruktur diperlukan dapat disiapkan, kita akan membuka pengambilan kepada pelajar perempuan juga," katanya kepada Sinar Harian.

Bangunan uzur digunakan untuk sesi kelas, makan, solat, dan rehat.
Bangunan uzur digunakan untuk sesi kelas, makan, solat, dan rehat.

Beliau berkata, buat masa ini, sesi pembelajaran, solat, makan serta penginapan hanya bergantung kepada sebuah bangunan dua tingkat.

"Bangunan itu telah uzur, namun sudah dibaik pulih demi keselamatan dan keselesaan pelajar dan guru.

"Di sinilah asrama, tempat solat, dan makan. Ruang atas digunakan tempat mengaji. Tingkat bawah digunakan sebagai ruang solat, tempat tidur dan makan," katanya.

Beliau berkata, pusat tahfiz berkenaan mempunyai empat orang guru yang mempunyai anak dan isteri.

Artikel Berkaitan:

Tapak tanah bagi pembinaan masjid.
Tapak tanah bagi pembinaan masjid.

"Mereka terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri. Nak bawa anak dan isteri, keadaan di sini pula daif. Rumah guru pun tiada.

"Jadi guru-guru ini juga terpaksa tidur di bilik-bilik kecil yang disediakan. Setiap bilik dapatkan memuatkan seorang guru sahaja," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui Maybank Malaysia Berhad di nombor akaun 5521-89524-394 atau Bank Islam Malaysia Berhad di nombor akaun 020-200100-78015 atau hubungi Mohd Nawawi Harun di talian 013-3472216 atau 013-3472217.