Gojek: Jangan anak tirikan pemandu teksi

Sebahagian teksi yang beroperasi di Kuala Terengganu.
Sebahagian teksi yang beroperasi di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keputusan kerajaan yang secara prinsipnya bersetuju terhadap cadangan mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek di negara ini seolah-olah cuba menganaktirikan pemandu teksi yang ketika ini berdepan pelbagai tekanan dan persaingan.

Mat Yazid
Mat Yazid

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Terengganu, Mat Yazid Seman berkata, pemandu teksi telah banyak bertoleransi dan memberi laluan terhadap perkhidmatan pengangkutan lain yang menjadi persaingan.

“Tak kiralah apa pun nama bagi perkhidmatan pengangkutan baharu yang diluluskan itu, kami di peringkat persatuan tidak bersetuju memandangkan hari ini terlalu banyak persaingan yang perlu dihadapi oleh orang teksi.

“Baik perkhidmatan secara dalam talian (online) atau sebaliknya. Kalaulah kerajaan nak wujudkan satu lagi perkhidmatan, kami tidak dapat terima kerana ia akan terus menekan pemandu-pemandu teksi yang mencari rezeki dengan cara ini,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan sepatutnya tidak meminggirkan serta mendapatkan pandangan daripada pihak persatuan teksi sebelum meluluskan penubuhan mana-mana perkhidmatan pengangkutan lain.

“Kalaulah keputusan itu dirundingkan bersama pihak persatuan teksi, kita diberi maklumat yang betul dan yang paling penting, ia tidak menekan pemandu teksi, saya rasa tiada masalah untuk kita bersetuju dengan cadangan kerajaan.

“Apabila ia diluluskan secara tiba-tiba, kami di peringkat persatuan juga akan terkena tempias dan tekanan keadaan juga akan jadi kelam kabut. Apa yang kita nampak, sekiranya perkhidmatan ini benar-benar akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pandangan pihak persatuan teksi, ia seolah-olah menganaktirikan kami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Kabinet dilaporkan secara prinsipnya bersetuju terhadap cadangan mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek di negara ini.

Keputusan itu diambil selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul dan cadangan kepada Kabinet untuk melaksanakan program itu.

Menerusi kaji selidik yang dimuat naik dalam akaun Twitter miliknya, Syed Saddiq berkata, beliau mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju perkhidmatan itu diperkenalkan di negara ini.

Menurutnya, ia bagi membantu golongan anak muda yang memiliki motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.

Gojek antara syarikat pemula niaga unicorn di rantau ini dan menumpukan rangkaian pengangkutan serta permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia, dengan perkhidmatannya boleh diperoleh menggunakan aplikasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek bantu anak muda dapat peluang pekerjaan