Kit Siang gesa hayati ucapan Sultan Nazrin

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menerima pemberian zakat perniagaan dari Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad Negeri Perak Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid berjumlah RM12,191,403.13 bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Perak Changkat Persekutuan hari ini. - Foto BERNAMA
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menerima pemberian zakat perniagaan dari Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad Negeri Perak Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid berjumlah RM12,191,403.13 bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Perak Changkat Persekutuan hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini menggesa seluruh rakyat Malaysia agar menghayati keyakinan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah terhadap kepelbagaian kebudayaan kukuh dalam Malaysia, sebagai satu platform paling sesuai untuk dialog antara pelbagai agama yang berbeza.

Pemimpin kanan DAP itu menegaskan, dengan menghayati dan mengamalkan keyakinan itu, Malaysia boleh memainkan peranan lebih besar dalam komuniti antarabangsa bagi memupuk persefahaman, toleransi dan harmoni, di kala unsur kebencian, sikap tidak bertoleransi dan konflik mulai menjelma.

“Ucapan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Dialog Ketamadunan Belia Malaysia-China berhubung Islam dan Confucianism yang Kedua semalam sempena Ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia-China itu memang tepat, dan kena pada masanya.

“Kedua-dua ucapan dan dialog mengetengahkan fakta penting, bahawa Malaysia menjadi titik pertemuan empat tamadun terhebat dunia - yakni Islam, Cina, India dan barat - dan membangkitkan satu cabaran kepada rakyat Malaysia, soal bagaimana kita boleh memanfaatkan nilai dan kualiti yang terbaik dari ketamadunan ini bagi membina negara Malaysia dan dunia yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, kenyataan Sultan Nazrin sangat tepat, dalam merujuk suasana kehidupan kita hari ini di dunia yang berpecah belah dan konflik yang meningkat; namun kumpulan sederhana dalam semua etnik, agama, kebudayaan dan negara tidak harus terikut-ikut dengan kumpulan ekstrem yang tidak berfikiran rasional kerana walau di mana-mana sekali pun tempatnya, kumpulan majoriti sebenarnya adalah dari kalangan mereka yang berskiap sederhana dan rasional.

Kit Siang berkata, sebagaimana yang dikatakan oleh Sultan Nazrin pada majlis konvokesyen ke-48 Politeknik Ungku Omar di Ipoh, rakyat Malaysia perlu menolak ekstremis perkauman dan agama.

"Kata baginda ‘Selepas 62 tahun merdeka, suara perpaduan dan suara kemodenan yang dibawa seluruh rakyat tidak pernah membenarkan fahaman ini dinafikan oleh sesiapa jua bagi tujuan politik jangka pendek, yang sungguh cetek pemikirannya’.

"Masa depan rakyat dan negara tidak seharusnya diserahkan kepada kumpulan yang membawa ideologi perkauman dan ekstremis agama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kit Siang berkata, beliau sentiasa percaya bahawa sifat Malaysia sebagai negara berbilang bangsa, berbilang agama dan berbilang kebudayaan menjadi tempat pertemuan terbaik bagi empat tamadun dunia itu untuk memainkan peranan penting dalam “Perikatan Ketamadunan”, di arena dalam negara mahupun antarabangsa.

“Sekiranya ucapan Sultan Nazrin dapat membantu Malaysia bergerak kearah ini; bagi memupuk persefahaman, toleransi dan saling menghormati perbezaan dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya; di dalam negara dan juga dunia; bagi mengawal kebangkitan rasa benci dan sikap tidak bertoleransi; maka ia adalah satu pencapaian yang hebat di pihak raja,” katanya. - Bernama