Polis tak kasar, Azwanddin tersungkur sendiri

Datuk Azwanddin Hamzah - Foto Bernama
Datuk Azwanddin Hamzah - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Dakwaan bahawa polis bertindak kasar terhadap Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah ketika dibawa ke Mahkamah Klang semalam, adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata, dalam insiden itu Azwanddin dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat di Bandar Baru Klang dan yang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, ketika itu, Azwanddin digari di tangan kanan bersama dua orang tahanan yang lain dan terjatuh ketika hendak masuk ke bangunan mahkamah selepas turun dari kenderaan.

"Pihak polis menafikan bertindak kasar terhadap Azwanddin seperti yang tular di media sosial. Hasil semakan mendapati, ketika turun dari kenderaan polis, beliau hampir tersungkur akibat tersadung dan terlanggar pasu bunga ketika melambai tangan kepada penyokong yang hadir disebabkan tahanan yang berkongsi gari berjalan laju. Anggota polis yang bertugas bertindak membantu mengangkat beliau semula.

"Peguam mewakili Azwanddin, Datuk Mohd Imran Tamrin turut mengeluarkan kenyataan media bahawa mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shamsul Amar berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebar atau memutar belitkan insiden itu kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan ketenteraman awam dan membangkitkan keresahan masyarakat.

"Tindakan penyebaran berita yang palsu boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 atau Akta Hasutan 1948," katanya.

Artikel Berkaitan: