Syarikat korporat disaran sedia penginapan di hospital: Siti Hasmah

Tun Dr Siti Hasmah (tengah) memotong pulut kuning sebagai simbolik Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) pada majlis sambutan yang diadakan hari ini. - Foto: BERNAMA
Tun Dr Siti Hasmah (tengah) memotong pulut kuning sebagai simbolik Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) pada majlis sambutan yang diadakan hari ini. - Foto: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mahu lebih banyak syarikat korporat tampil menyumbang dalam menyediakan rumah penginapan di hospital bagi meringankan beban keluarga pesakit yang sedang menjalani rawatan.

Dr Siti Hasmah berkata, usaha itu juga dapat membantu memberi keselesaan kepada keluarga pesakit terutama ibu dan bapa yang perlu menjaga anak mereka semasa tempoh berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang sanggup menyediakan kemudahan ini tanpa penat dan lelah kerana usaha ini boleh mendatangkan manfaat dan keselesaan kepada mereka yang sakit.

“Ibu bapa juga perlu bersyukur kerana ada golongan seperti ini yang sudi memberi khidmat ketika keluarga berusaha untuk mendapatkan rawatan bagi membolehkan anak mereka sihat kembali,” katanya.

Dr Siti Hasmah berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HTCM-UKM), di sini hari ini.

Beliau turut berbesar hati dan bersyukur dapat kembali ke rumah penginapan itu selepas merasmikan sendiri pembukaannya pada 1999.

“Umur saya sekarang 93, saya harap masa umur saya 103 tahun nanti boleh jemput lagi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ronald McDonald House Charities Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihaknya bercadang untuk membina sebuah lagi rumah penginapan seperti itu di sebuah hospital di ibu negara sebelum akhir tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika ini pihaknya sedang mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pembinaan Rumah Ronald McDonald ketiga itu selepas berjaya membuka rumah penginapan kedua di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan pada Jun lepas.

“Untuk jangka masa panjang, kami mahu membina sekurang-kurangnya sebuah Rumah Ronald McDonald di bahagian utara, selatan dan Sabah serta Sarawak.

“Tumpuan kami kepada golongan B40 yang memerlukan tempat penginapan dengan kos yang murah iaitu RM5 semalam, namun dengan kemudahan yang lengkap dan selesa,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1999, Rumah Ronald McDonald HTCM-UKM telah memanfaatkan hampir 1,300 keluarga pesakit pediatrik dan menelan belanja sehingga RM6 juta bagi tujuan pembinaan dan penyelenggaraan. - Bernama