Ansuran bawah dana rumah mampu milik boleh kurang 20 peratus

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kiri) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin ketika sidang media selepas Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kiri) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin ketika sidang media selepas Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Bayaran ansuran bulanan bagi peminjam di bawah Dana Rumah Mampu Milik dijangka dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus dengan kelonggaran syarat yang diberikan terhadap pemohon dana itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bermula 1 September ini, katanya skim Dana Rumah Mampu Milik berjumlah RM1 bilion seliaan Bank Negara Malaysia dilonggarkan untuk pembeli yang berpendapatan tidak melebihi RM4,360 sebulan untuk membeli rumah berharga tidak melebihi RM300,000.

Sebelum ini, dana itu disediakan untuk membantu mereka yang berpendapatan tidak melebihi RM2,300 sebulan untuk membeli rumah berharga tidak melebihi RM150,000.

"Pemohon yang berjaya akan menikmati kadar faedah yang rendah pada 3.5 peratus setahun dengan tempoh pinjaman sepanjang 40 tahun. Kita harap dengan kelonggaran ini, lebih mudah untuk pembeli mendapat pinjaman,” kata Guan Eng pada sidang media bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini.

Sebelum itu, dua menteri berkenaan menghadiri mesyuarat kumpulan fokus Belanjawan 2020 perumahan mampu milik di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini.

Guan Eng berkata, pemohon juga akan mendapat pengecualian duti setem ke atas perjanjian jual beli dan perjanjian jualan.

Beliau berkata rakyat Malaysia menghadapi masalah perumahan mampu milik yang serius, sambil memetik laporan Khazanah Research Institute dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyatakan sebuah pasaran perumahan yang berfungsi baik sepatutnya mempunyai median harga rumah tiga kali berbanding median pendapatan tahunan kasar.

"Tetapi di Malaysia sekarang, harga tersebut berada di paras 4.4 kali pendapatan tahunan kasar. Masalah ini adalah paling ketara di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zuraida dalam pada itu berkata enam skim pembiayaan perumahan termasuk Skim Perumahan Belia dan 'rent-to-own' dijangka dapat dilancarkan pada Oktober ini.

Beliau berkata, skim-skim tersebut kini sedang dimuktamadkan termasuk mengenai penglibatan bank dan institusi kewangan.

Ditanya mengenai usaha kementerian untuk membantu kerajaan negeri Pahang dalam membantu Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk membina kemudahan pelupusan kekal (PDF), Zuraida berkata: "KPKT menjaga kerajaan tempatan. Jadi, apa jua pembangunan atau pembinaan yang dilaksanakan, siapa pun mereka, mereka perlu mematuhi peraturan kita".- Bernama