Lelaki Myanmar jual kad UNHCR palsu ditahan

Pelbagai kad termasuk kad UNHCR dan CIDB yang dirampas daripada suspek.
Pelbagai kad termasuk kad UNHCR dan CIDB yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki warga Myanmar ditahan selepas disyaki menjual kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di sebuah rumah di Tingkat Binjai 2, Taman Sri Rambai semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis menyerbu sebuah rumah dan berjaya menahan suspek pada jam 1.30 petang.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah tersebut, polis menjumpai lima keping kad UNHCR atas pelbagai nama yang disyaki palsu, empat keping i-Kad, tiga keping pasport Myanmar dan lima keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Dipercayai suspek juga mencetak kesemua jenis kad itu untuk dijual berikutan terdapat peralatan untuk mencetak kad yang disyaki palsu di rumah tersebut.

"Menurut suspek, dia menjual RM30 untuk setiap keping kad berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan: