Karnival ragbi terbesar kembali gegarkan Johor

Noorazam
Noorazam
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menjelang Piala Dunia Ragbi Jepun 2019, peminat ragbi di selatan tanah air dan seluruh negara akan dihidangkan dengan aksi-aksi menarik di Karnival Ragbi Johor 2019 yang akan berlangsung 24 hingga 25 Ogos di Kompleks Sukan EduCity di sini.

Memasuki edisi yang ke-10, Kesatuan Ragbi Johor yang bertindak selaku penganjur turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Kesatuan Ragbi Malaysia dan Majlis Perbandaran Iskandar Puteri bagi menjadikan karnival yang mula dianjurkan sejak tahun 2009 itu terus menjadi pentas untuk mempromosi dan menyokong pembangunan ragbi khususnya di Johor.

Untuk edisi tahun ini, tiga kategori lelaki akan diperkenalkan mengikut peringkat umur iaitu Piala Iskandar Investment Bhd untuk bawah 16, Piala Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri untuk bawah 14 dan Piala Milo bagi bawah 11.

Bagi kategori perempuan pula, mereka akan bertarung untuk Piala Iskandar Investment Bhd untuk bawah 16.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Noorazam Osman teruja menyaksikan karnival itu berkembang menjadi satu kejohanan bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, kepentingan penganjuran kejohanan itu adalah untuk perkembangan sukan ragbi negara ini.

“Karnival ragbi ini adalah yang terbesar di Malaysia dan ia akan bantu dari segi pembangunan sukan ragbi di negara kita. Sekiranya kita ingin berjaya di peringkat antarabangsa, kita amat memerlukan kelompok pemain yang besar untuk kita melatih mereka.

"Jadi, kejohanan seperti ini amat sesuai untuk mereka pamerkan bakat yang dimiliki dan ia tidak mustahil untuk kita melahirkan pemain-pemain yang berkualiti kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorazam berkata, karnival itu juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri khususnya buat negeri Johor dan merupakan salah satu langkah untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

"Sukacitanya kami amat berbesar hati untuk menyokong aktiviti seumpamanya di Malaysia.

"Sukan ragbi di Johor sedang rancak membangun khususnya di peringkat akar umbi apabila pasukan bawah 18 tahun mereka berjaya mengekalkan kejuaraan pertandingan ragbi peringkat Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) buat tahun yang kedua," katanya.

Antara pasukan yang bakal berentap di Karnival Ragbi Johor 2019 adalah Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (Johor), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sains Hulu Selangor (Selangor), Kuala Lumpur (KL) Saracens (Selangor), Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Sri Mersing (Johor), Akademi Ragbi Terengganu (Terengganu), Maktab Tentera Diraja (KL), SMK Sains Selangor (KL) dan Akademi Ragbi Selangor (Selangor).

Sementara itu, Kejohanan Ragbi 7s Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) akan turut dijalankan bermula pada 22 hingga 25 Ogos di tempat yang sama.